Pages

Saturday, November 16, 2013

Toraja.. wisata alam bonda



Dua biji tengkorak tergeletak di atas batu. Di sisi keduanya bertaburan batang rokok pelbagai jenama murahan. ada yg sudah kusam, ada juga yang seakan baru keluar dari kotak. Susunan keranda saling bertindih nun di atas syiling gua. Buluh tua dan kayu saling silang menyilang membentuk geometri penyanggah agar keranda tetap utuh di tempatnya. Langkah terhenti. Perlahan-lahan mendongak ke atas melihat susunan keranda, sambil melirik susunan tongkonan yang tidak teratur di sudut lantai menghala ke dinding gua. Terdetik di hati memikir rasional meletakkan keranda di kawasan yang kelihatan mustahil pada akal waras manusia.

Masih di bahagian atas dinding gua, berjarak lebih kurang 10 meter, kelihatan seakan jemdela panjang dipenuhi susunan patung manusia. Jika dilihat dari jauh, seakan patung itu benar-benar menyerupai manusia. Malah ada yang mengatakan bahawa sebenarnya objek tersebut adalah jasad manusia yang diletakkan sebagai monumen memperingati seseorang. Hening suasana persekitaran dipecahkan oleh rayuan para penunjuk jalan menawarkan perkhidmatan membawa pengunjug menjelajah gua dengan bantuan lampu minyak tanah. Aku tersenyum sendiri membayangkan peralatan sebegini teramat sukar untuk ditemui waima di kampungku saat ini. meski suatu ketika dahulu ia merupakan antara peralatan wajib untuk setiap isi rumah. 
Aku mengambil kesempatan untuk mendengar penjelasan dari seorang pemandu pelancong kepada sekelompok turis. Di mulut gua, semakin banyak tengkorak usang terbiar dalam keadaan daif dan tidak terurus. Salib berhias kalungan bunga tersandar lesu bersama nama simati yang terpahat rapi. Melangkah memasuki gua, suram dan kelam, terasa ada getar halus melihat keranda baru bersilang tindih dengan keranda usng yang sudah terpokah. Udara dingin berserta desiran bayu menggesek rimbunan buluh menerbitkan suara mendayu yang semakin lama semakin menyeramkan. 
Gua Londa... menurut pemandu pelancong bermakna Gua Alam Bonda. Aku sendiri kurang arif, tapi memandangkan Indonesia memang sinonim dengan akronim maka aku urung niat untuk bertanya lanjut mengapa untuk frasa Alam hanya huruf 'L' yang terpilih. Makna dari alam bonda rasanya secara kasar boleh ditebak akal. Pastinya untuk alam kematian. Alam Bonda bermakna kembali kepada 'bonda' atau sang pencipta. Mungkin. 


Kembara kali ini agak berbeza dari segi pengalaman. Biasa aku lebih tertarik dengan wisata alam. Namun, tarikan Tana Toraja amat kuat. Sering kali mendengar mitos dan cerita yang menggerunkan selain lari dari tata waras akal manusia membuatkan aku nekad untuk menjejakkan kaki ke lahan org 'Atas' pada kembara ke Sulawesi Selatan yang mengambil masa 2 minggu. Meski sebenarnya lebih banyak masa kuhabiskan di dalam bilik tanpa berbuat apa-apa.
Saat pertama kali menjejakkan kaki di Rantepao, dalam perjalanan 9 jam dari Makassar, aku sedikit cuak. Sebabnya, sebaik memasuki provinsi Toraja, aku disambut  sepanduk "100 Tahun Injil Masuk Toraja'. Kawasan majoriti penganut Nasrani dan secara langsung aku berada dalam kelompok minoriti. Perkara pertama yang aku risaukkan tentunya masalah makanan. Apatah lagi kedai makan pertama yang aku lihat tertera menu utama Bakso Babi. Teringat kala membaca karya Pak Arena Wati yang menjelaskan bakso itu sebenarnya berasal dari singkatan bak yang bermakna babi dan so untuk singkatan kepada sop (sup). 
Seperkara lagi yang membuat aku sedikit ruwet kerana peralatan elektronik di Indonesia ini menggunakan plug 2 pin, tidak seperti d Malaysia yang menggunakan plug 3 pin. Dengan bekalan powerbank serta bateri handphone yang semakin kritikal, kujelajahi setiap ruko yang ada di sepanjang laluan utama pekan kecil Rantepao. 
Di pekan kecil ini, yang juga merupakan hentian akhir bagi bas ekspres ke Toraja, hanya terdapat hotel kecil tanpa bintang dan bebeerapa buah rumah tumpangan. dengan kadar yang agar tinggi berbanding kemudahan, tidaj banyak pilihan kepada para turis. Mungkin kerana lelah dari perjalanan panjang, malamnya aku tidur pulas berteman pemandu pelancong.
Pagi hari, usai sarapan kami mendapatkan perkhidmatan skuter untuk menjelajah mencari objek wisata. Mujur, ketika berurusan dengan penyewa kami dibekalkan peta dan sedikit panduan oleh tuan punya skuter. Memandangkan jarak yang luas, kami dicadangkan untuk menjelajah belahan selatan Rantepao sehingga ke Makale. Merangkumi Sangalla, Kambira, Londa, Kete Kesu dan beberapa lagi tempat menarik. Dan untuk belahan utara sebaiknya pada keesokan hari untuk menjamin kesegaran dan kepuasan memandangkan kami tidak begitu arif dengan selok belok kawasan persekitaran.
Mungkin agak panjang untuk bercerita setiap satu tempat yang dilawati. Apa yang jelas, menjelang hari kedua aku mula berasa bosan. Setiap kali tiba di kawasan tumpuan pelancong, hanya dua benda yang akan kutemui. Tongkonan dan keranda. Kadangkala berserta tengkorak. Tiada benda baru yang menarik perhatian. Ternyata, tarikan utama Tana Toraja lebih terasa jika terdapat kematian, apatah lagi jika melibatkan orang kenamaan. Suasana begini aku temui dalam perjalanan ketika mencari muzium, yang akhirnya tidak ku temui meski tertera dalam peta, dalam perjalanan dari Kambira menuju Sangalla.
Berhubung kerisauan berkaitan makanan halal, ternyata hanya sekadar persepsi. Subuh aku dikejutkan dengan laungan azan berkumandang memecah hening dan dingin udara Rantepao. Aku tergamam sebenarnya. Bagaimana sebuah kawasan yang kental dengan semangat kristiannya mengizinkan azan dikumandang dengan begitu lantang. Malah tidak jauh dari masjid besar itu terdapat geerai bakso babi. Aku segera teringat sentimen azan yang diperdebatkan di negara sendiri. Malah isu kalimat Allah yang mengambil Indonesia sebagai contoh negarif yang membenarkan penggunaannya oleh penganut bukan Islam ternyata berbeza senariaonya. Di sini masyarakat Islam yang berupa kelompok minoriti masih mampu untuk hidup harmoni dengan penganut agama lain. Ternyata, penganut Islam di Indonesia amnya dan di Toraja ini khususnya lebih bijak dan terbuka dalam mendepani permasalah agama. Sedangkan kita yang angkuh sebagai pejuang agama ternyata tidak dapat menerima malah memandang rendah pada negara lain yang berjaya menunjukkan contoh lebih baik. Jika permasalahan kemajmukan masyarakat, sebenarnya kita terlalu kecil jika dibanding dengan keragaman masyarakat negara Pancasila ini. Pluralisme agama? mungkin ya mungkin juga tidak. Tepuk dada tanya selera. Pengalaman sering kembara ke Indonesia ini membuatkan aku semakin tertarik dengan negara 'sejuta' pulau ini. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pandangan, bertambah pengalaman... (dan semakin banyak tol... hehehehe)

3 comments:

  1. Wow...satu pengalamn yg mnyeronokkn dn penuh misteri. Indonesia mmg kaya ngn tempat2 kuno serta sejarah pradabn mnusia. Bestny dpt p mngembara. Tahniah pren....catatn blog ckup menarik utk dibaca. bikin jeles aku jak bah org bujang ni. mengembara jak kjany. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tengkiu pren... rezeki dan kesempatan yg Allah beri alhamdulillah d guna sebaik mungkin. Insyaallah akan terus membuat catatan selagi mampu.

      Delete
  2. Alhamdulillah... xpe slagi single ni elok la mngambil kesempatan meneroka tempat2 mnarik. sy pun sbenarny suka jgk aktiviti cam ni tpi apakn daya.. huhu

    ReplyDelete