Pages

Sunday, January 13, 2013

"Inqilab! Zindabad!" ~ HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT 112

Seorang teman bertanya.. "Apa faedah lu pi berhimpun tu, buat penat je. Dah la panas, lapar.. takde kerja lain ke?" Gua hanya tersenyum tapi dalam hati rasa nak menyembur je. Sabar!! 
Pagi 12 Januari, gua sebenarnya masih berbelah bagi untuk turun ke Stadium Merdeka. Teman serumah yang mulanya beria-ia untuk turut serta masih berlingkar. Memikirkan ini perhimpunan terakhir sebelum PRU13, dan mungkin sejarah terlakar di sini, gua capai kamera dan sedikit kelengkapan sebagai 'persiapan' dan terus memecut motor gua ke hentian bas Klang. Tiba di KL sejam kemudian, keadaan mula sesak. Masjid Negara sudah di banjiri gelombang kuning. Selain itu terdapat banyak lagi 'warna' memenuhi perkarangan masjid. Gua sempat mendapatkan sehelai t-shirt HKR berwana hitam (ntah reprentasi kumpulan mana gua sendiri tidak pasti.. hehehe)

Masjid Negara

Menjelang pukul 2 petang, laungan takbir mula berkumandang. Lautan manusia sudah memenuhi jalanraya. Dari masjid melalui bangunan KTM, ribuan warna memenuhi ruangan. Terdengar seloroh peserta yang mengatakan jumlah keseluruhan cuma 1000 orang. Gurauan yang disambut derai ketawa sambil sedikit sumpah seranah terhadap TV3 yang sering tersilap kira jika melibatkan parti oposisi. Gua bergerak bersama barisan unit amal, sambil terus merakam foto-foto kenangan dan bukti kebangkitan suara rakyat yang sering dinafikan pihak berkuasa.
Bergambar sebelum berarak

semakin sesak dengan peserta

melintasi bangunan KTM

sokongan pembakar semangat.. hehehe

Sewaktu tiba di perkarangan Stadium Merdeka, keadaan terlalu sesak. Laluan alternatif dengan memanjat pagar dan meredah kawasan semak terpaksa dipilih. Seorang makcik dalam suara keletihan tapi masih bernada ceria cuba membayangkan andai Najib melihat keadaannya saat itu pasti berasa gentar dengan semangat kami semua. Gua hanya tersenyum!!
menghargai semangat 

unit amal

Laluan penuh sesak menghampiri Stadium Merdeka

Perkarangan stadium yang penuh sesak

Pintu masuk utama sudah ditutup. Kebenaran untuk mengadakan perhimpunan dengan kapasiti 30 000 orang bagi gua satu syarat yang tidak masuk akal. Kalau konsert tak ada pulak had penonton. Gila ka apa?? Lantak dia la, gua dah sampai di sini takkan nak balik kosong. Nasib baik pintu sisi masih dibuka dan kami semua berasak-asak untuk masuk. Meskipun pijar matahari mula membahang, gua terus menyelit hingga ke kawasan tempat duduk.. dan, itu dia... Subhanallah..!!! Lautan manusia memenuhi segenap ruang Stadium keramat yang pernah merakam sejarah kemerdekaan negara. (Sebentar tadi gua membaca laporan Harian Metro yang menganggarkan sekitar 40-45 000 peserta sahaja yang menghadiri himpunan ini, menurut laporan polis kononya. Gua nak pesan pada editor HM, lu pi ambik kertas ulangan matematik utk PMR atau UPSR, belajar balik asas mengira!!!) Dan gua dengan bangangnya cuba mengira jumlah sebenar yang hadir.. hasilnya?? tak terkira, ramai sangat. Kat dalam dah sesak, kat luar lebih ramai yang berasak-asak. Tak percaya?? Lu kira sendiri....

Gambar ihsan dari Tuan Ibrahim Tuan Man (Official FB account)


Tengok berita TV3 lagilah gua bengang. Ada ka patut dia cakap himpunan shamsidar. Ikut suka hati dia je nak letak nama. Org dah cakap Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 112. Dari mana dapat nama Shamsidar tu gua pun tak pasti. Hallo bhai, gua turun bukan kerana gua taksub dengan individu. Gua turun sebeb gua benci pembohong macam lu!!! Kalau benda yang nyata macam ni pun lu boleh auta, apa integriti lu untuk lapor benda lain secara adil? Lu ingat lagi kes lakonan semula 'mat rempit' yang lu siarkan dulu sampai lu terpaksa mintak maaf?? Pi mampus la lu!!!

Semangat rakyat

Laungan merdeka bergema

hanya 45K?? cisss... 

Masa balik dari perhimpunan tu gua sembang dengan sorang brader dari Shah Alam. Dalam seloroh brader tu cakap himpunan kali ni kurang thrill, tak meninggalkan kesan sangat. Gua tanya kenapa. Brader tu cakap sebab tak dapat merasa water canon dan tear gas. Gua senyum je. Gua sebenarnya sedikit terkilan sebab tak dapat join masa Bersih 1.0. Waktu tu kurang promo, acara dah abis baru gua tau. Bersih 2.0 pulak gua ke Kuching. Ingat lagi masa ke LCCT laluan dah banyak di tutup. Seminggu sebelum tu lagi dah mula buat sekatan jalan. Nak pegi kerja pun susah. Gua menyumpah dengan geng-geng polis masa tu. Bersih 3.0 pulak gua terpaksa kerja. Kali ni gua tak kisah water canon atau tear gas, gua redah je. Nasib baik himpunan berjalan lancar. Geng polis pun bagi kerjasama yang baik. Dorang setakat terpacak sambil senyum. Tenang hati tengok suasana macam tu. Kan best kalau dari dulu lu buat macam ni, tak ada la sesak lokap dengan tahanan tu. Orang pun tak menyumpah kat lu.

Dalam bas KL-Klang, gua terbayang semula wajah-wajah peserta himpunan tadi. Dari kanak-kanak hinggalah yang dah berpencen, semua membayangkan tekad untuk berubah. Gua percaya, ini manifestasi kebencian rakyat terhadap salah guna kuasa yang menakluk sistem pemerintahan negara. Dan bagi elit penguasa, keadaan seperti ini pasti menimbulkan rasa gerun di hati mereka. Gua nak bagi tau, kami bukan benci BN, tapi kami cukup menyampah dengan pemimpin yang buta mata hatinya. Pemimpin yang hanya bijak menyusun retorik. Denial Syndrom yang tidak pernah lekang dari bibir mereka. Over killing yang korang buat lebih busuk dari PRU12. Dan terimalah 'hadiah' dari kami atas lafaz janji yang korang khianati. Ini kalilah!!! seperti yang dilaungkan oleh Bhagat Singh, tokoh revolusi India yang terpinggir...

INQILAB!! ZINDABAD!!!!

p/s: buat rakan-rakan HKR, semoga kita bersatu lagi di stadium ini selepas PRU13, insyaallah.. MERDEKA!! RAKYAT!!!

Tuesday, January 8, 2013

Helang Batu Kawi.. dan sumpah pun sirna


Langka, dalam bahasa sanskrit bermaksud keindahan. Wi pula bermaksud tidak terkira. Langkawi, atau keindahan tidak terkira. Mungkin retorik yang agak berlebihan. Atau boleh saja bermaksud helang kawi (helang merah) atau helang batu kawi, dua objek yang sinonim dengan pulau lagenda ini. Namun pengertian atau akronim dari pemandu pelancong juga tidak kurang menariknya; Lelaki Akan Nampak Gagah Kerana Ada Wanita Istimewa... Mahsuri!!

Bertahun berlalu, lagenda Mahsuri terus subur membenteng Langkawi. Zuriat Pandak Maya dan Mek Andak Alang, yang lahir berselubung mitos terus bugar dalam lipatan sejarah. Pemergiannya penuh tragedi. Darah putih yang bersimbah mekar bersama sumpah. Betapa serakah Datuk Pekermajaya dan bisa bicara Mahura akhirnya menghantar Puteri Mahsuri menghadap Illahi.

Mahsuri, hanyalah rakyat biasa yang menjadi mangsa tohmah atas segala kelebihan yang dimiliki. Paras rupawan digabung pekerti terpuji. Limpahan kemewahan serta sanjungan masyarakat menjadi duri bagi orang lain. Melihat kembali tragedi ini, rasanya tiada yang istimewa untuk diperkatakan. Kejadian seumpama ini telah banyak mewarnai sejarah bangsa, sebelum atau selepas era Mahsuri. Mungkin kerana hikayat sumpah tujuh keturunan yang menyebabkan Mahsuri lebih mendapat tempat.

Sekian lama dimamah sumpah, Langkawi muncul antara kawasan tarikan pelancong pada masa kini. Suatu ketika, dikhabarkan bahawa kerbau lebih banyak berbanding manusia di pulau ini. Inisiatif Tunku untuk menjejak kubur Mahsuri membawa bersama peluang pekerjaan sekaligus membuka pintu Langkawi kepada dunia luar. Mahathir, mantan perdana menteri malaysia telah mengisytiharkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai pada tahun 1987. Maka, Langkawi mula bernyawa setelah sekian lama berselubung sumpah.
Namun, ada juga yang mengaitkan kemakmuran Langkawi dengan kelahiran generasi ketujuh atau kelapan Mahsuri. Srinitra Yayee @ Nong May atau lebih dikenali sebagai Wan Aishah Wan Nawawi dikatakan telah melerai sumpah Mahsuri.

Nong May @ Wan Aishah Wan Nawawi 

Seanggun leluhur
Menetap di Kampung Tambon, Kemala, Phuket, Wan Aishah sempat menjadi idola rakyat Malaysia sekitar awal 90-an apabila kisahnya berjaya dijejak Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah yang kemudian disusuli Eksepidisi Melawat Phuket anjuran majalah Al-Islam pada tahun 1998. Ketika itu, Wan Aishah baru berusia 12 tahun. Diambil sebagai anak angkat Utusan Melayu (M), sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama setahun sebelum melanjutkan pengajian di Universitiy of Bangkok dalam jurusan komunikasi. Selamat mendirikan rumahtangga pada 22 April 2010 dengan Alee Tongyon, seorang usahawan muda industri pelancongan dari kampung yang sama.

Kini Langkawi berwajah ceria. Mendung hitam yang berkampung telah sirna. Dari sebuah pulau jajahan Siam, Langkawi berubah menjadi kawasan tumpuan pelancong terutama pada musim cuti sekolah. Tarikan status bebas cukai, Pameran maritim dan aeroangkasa peringkat antarabangsa disamping keindahan panorama berjaya mengangkat martabat pulau lagenda ini.

Namun dalam ghairah mengejar keuntungan, kita sering leka dan haloba. Harga makanan yang tidak setimpal dengan rasa, susila yang kian luntur, kebejatan moral kian merajalela, sunnah yang terlupa digenggam erat adalah harga kepada sebuah kemajuan. Berapa ramai yang hadir ke Langkawi untuk melakukan ziarah ke makam Mahsuri? Masih adakah yang sudi bertafakur merenung kesilapan leluhur kita membuang mutiara kurnia? atau Langkawi sekadar koleksi daftar percutian untuk berbelanja...

Atau perlukan lahir seorang lagi Mahsuri untuk di'korban'kan agar kita lebih waspada..???

mutiara yang hilang





DAN SUMPAH PUN SIRNA

TANAH LANGKA TIDAK TERPERI
BATU KAWI MEMASAK BUMI
HADIR SURI BERGANDING SERI
HASAD DI HATI MENGUNDANG IRI

KECUR DARAH MENYIMBAH TANAH
BERPISAH NYAWA JASAD DAN CINTA
PUTIH MENGALIR MEMANGKAH FITNAH
NESTAPA MENGARAK MENDUNG SEMESTA

TUJUH TURUNAN DISAPA PETAKA
TANAH PUSAKA DIMAMAH SUMPAH
KINI PUSARA MENJADI TANDA
NERACA AKAL SANTUNAN JIWA

MAKMUR NEGERI SUMPAH NAN SIRNA
GELUNG BERPUGAR GEDUNG PERKASA
DARI SEGARA KE PUNCAK RAYA
SUBUR MELATA BERSIMBAH KURNIA

TABUH HIKAYAT MASIH DIDENDANG
DUA NISAN MERCU INGATAN
LABA DIKEJAR UNTUNG DITIMANG
AKAL DAN SUNNAH DITINGGAL JANGAN

Sunday, January 6, 2013

Langkawi - coretan perjalanan

As salam
Sekian lama menyepi, mungkin kerana hilang ghairah untuk menulis atau sekadar rutin malas makin menjadi-jadi. Kalau tamsilan parang, aku mungkin sudah mula berkarat. Maka, perlu diasah lagi dengan memerah otak mencari susun atur aksara..

Langkapuri, pulau lagenda misteri. Sekian lama ku pendam niat untuk menjejak kaki ke bumi Mahsuri ini. Namun, pasti ada sahaja halangan yang merintang. Nekad menuntas hajat yg sering tertunda, ku pejam mata menempah tiket penerbangan pada awal 2013. Dan mungkin kerana rezeki yang telah tersurat, tiba-tiba syarikat bermurah hati untuk menawarkan percutian ke Langkawi. Sekali lagi, tanpa berfikir panjang aku menempah tiket penerbangan ke sana. 

Meskipun percutian kali ini atas biaya syarikat, tapi tema free and easy (sebenarnya utk menghabiskan sisa budget terkumpul) membuatkan kami berasa sedikit bebas. Dengan penyertaan mencecah 100 org, bukanlah satu tugas mudah utk memastikan semua aktiviti berjalan lancar.
Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang sejam ku gunakan sepenuhnya utk melelapkan mata. Selaku ahli rombongan pertama yang tiba, aku perlu menggunakan masa terluang utk meninjau keadaan sebelum 'pasukan' utama tiba... hmmmm

Aku tiba di bandara (meminjam akronim tanah seberang) lewat dari jadual asal angkara kesesakan di LCCT. Mengikut perancangan asal akan ada wakil dari agen pelancongan yang menyambut ketibaan di pintu keluar. Dengan beg sandang yang sarat serta kamera yang terasa semakin berat bergayutan di bahu, aku melilau mencari kelibat org yang dimaksudkan. Malangnya, tidak ada sesiapa di situ. hanya sekelompok kecil manusia sedang santai di bangku. Satu impresi yang gerah... silapnya, aku terlupa untuk mengambil nomor telefon org pengantara di sini. Pengajaran penting yg terlupakan, sentiasa pastikan komunikasi berjalan lancar.
Berlegar-legar sekitar 10 minit, barulah aku berjumpa dengan En Ruzaidi, yang menurut beliau telah menunggu sejak setengah jam lepas. Aku jadi sedikit keliru, sbb aku org terawal keluar dari balai ketibaan tadi. Mengenangkan aku juga tersilap maka aku maafkan penafian beliau. Kami terus bergerak ke Sandy Beach Resot, Cenang untuk daftar masuk. Bilik dengan 2 katil bersaiz queen, penyaman udara dan TV. Cukup untuk berehat sebentar sebelum keluar lagi menjelajah.

Penjejakalam.blogspot.com
Pantai Cenang, Langkawi

Pantai Cenang (yang kemudiannya aku ketahui pantai ke-5 tercantik di Langkawi) tidaklah secantik yang aku bayangkan. Mungkin aku sudah terbiasa dengan panorama pantai yang lebih cantik di Sabah, meskipun kurang promosi, maka aku kurang ghairah di sini. Diapit pulau dari kedua-dua sisi, menjadikan Pantai Cenang kelihatan sempit. Dari sebelah kiri, kelihatan tulisan gergasi terpampang "Langkawi Permata Kedah" berlatarkan bukit yang menjulang. Manakala dari sisi kanan pula, tanjung dengan deretan rumah rehat dan nyiur sepanjang pantai. Kelip cahaya dari deretan kapal menghidupkan sedikit suasana yang malap. Bosan dengan pandangan yang kelam, aku memaksa kaki untuk menelusuri jalan yang mula sibuk. Cenang, sunyi di siang hari dan mula bernyawa kala malam menjelma. 





HARI KEDUA
Jeti Kuah sesak dengan kehadiran pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Rombongan KST selamat tiba sewaktu hampir tengah hari. Dari jeti, bergerak ke kilang gamat, salah satu produk tersohor yang melonjak nama Langkawi. Bukan kilang sebenarnya, pusat jualan yang disediakan khas utk mendapatkan produk gamat daripada pengasas gamat Langkawi. Harga yang ditawarkan memang murah berbanding tempat lain. Persekitaran yang bersih dan tertata rapi. Malah, disediakan khidmat 'pengurus' jualan yang memberi penerangan kepada pelanggan berkaitan produk jualan. Dan kerana tarikan sebegini, maka duitpun melayang bersama senyuman gembira. Alah membeli, menang memakai...

Penjejakalam.blogspot.com
Gamat dengan pelbagai variasi

Dari kilang gamat kami meneruskan perjalanan ke pekan Kuah dan berkunjung ke Bangunan Haji Ismail Group (HIG) untuk membeli belah. Tarikan utama tentunya coklat dan barangan pinggan mangkuk. Di HIG ini, kesemua coklat yang dijual adalah halal. Maka tidak timbul kesangsian utk pengguna muslim mendapatkan coklat dengan harga murah. Kesesakan pengunjung menggambarkan keyakinan mereka utk berbelanja di sini. Usai menabur 'bonus' di HIG, kami kemudian bergerak terus ke Sandy Beach Resort untuk makan tengah hari dan pendaftaran masuk. Dalam perjalanan, pemandu bas merangkap pemandu pelancong memberikan penerangan serba ringkas tentang Langkawi. Asal usul, cerita Mahsuri, dongeng, hikayat, tempat-tempat menarik, dan perkembangan terkini di samping panduan membeli belah.

Hujan lebat sekitar pukul 4 petang. Program khidmat masyarakat ditunda ke pukul 6. Mata terasa berat utk dibuka. Pantai mula sesak dengan kehadiran pengunjung. Selesai upacara ringkas menanam pokok, kami mula mengorak langkah mengutip cebisan-cebisan sampah sepanjang pantai. Gelagat peserta berbaju hijau mula menarik perhatian orang ramai. Kesempatan diguna sepenuhnya untuk mengajak mereka turut serta. Pengunjung dari luar negara ternyata menunjukkan sikap ramah dan kerjasama. Sementara pengunjung tempatan sekadar bertanya. Menjelang senja, aktiviti usai dan acara makan malam mengambil tempat. Selepas itu, bebas berkeliaran dan aku sekali lagi menyusur pantai.  Meladeni malam yang seamkin gerah dengan karenah marganya...
Panrita Kamika

Panrita Kamika

Panrita Kamika

Panrita Kamika

HARI KETIGA
Mengikut jadual, hari ini merupakan hari paling padat dengan aktiviti. Seawal pagi, selesai bersarapan kami diangkut bergilirgilir untuk aktiviti Island Hopping. Pulau Dayang Bunting diikuti eagle feeding dan seterusnya ke Pulau Beras Basah. Dayang Bunting, tasik air tawar dengan panorama yang mendamaikan. Kesempatan berenang di tasik ini tidak dipersiakan. Sejuk tapi nyaman. Sayang masa agak terhad. kami terpaksa bertolak lagi untuk melihat helang menjamah makanan. Hanya sebentar, dan bagi aku seperti tidak meninggalkan kesan langsung. Pulau Beras Basah... cantik tapi agak berbahaya kerana bot silih ganti mendarat. Kami sendiri hampir terlanggar kanak-kanak yang leka bermain air.

Keletihan dari aktiviti Island hopping amat terasa. Perjalanan balik dengan keadaan laut sedikit bergelora menambahkan rasa lapar yang mula meronta. Restoran Kampung Siam, dengan nama yang sedikit unik tapi sayangnya layanan serta menu yang kurang memuaskan. Pinggan yang terlalu kecil amat tidak menyelesakan untuk menjamah hidangan. Selesai menjamu selera, kami terus ke bilik untuk berehat..

Pada sebelah petang, bergerak lagi ke Gunung Mat Chincang untuk menaiki kereta kabel, satu lagi daya tarikan di pulau lagenda. namun rezeki kali ini nampaknya tidak menyebelahi. Sebaik tiba, hujan renyai mula turun. Untuk memburukkan lagi keadaan, barisan panjang pengunjung menanti giliran untuk menaiki kereta kabel membuatkan kamu dengan berat hati mengambil keputusan untuk membatalkan aktiviti tersebut. Seterusnya kami bergerak ke Idaman Suri, antara pusat tumpuan membeli belah para pelancong. Lewat senja, kembali semula ke bilik dan selepas itu bebas untuk melakukan aktiviti masing-masing.
Selepas berehat seketika, berbekal sisa bonus tahunan yang masih ada, kami mula mencari barangan cenderamata untuk dibawa pulang. Lewat malam barulah kembali semula ke bilik dan berehat.

HARI TERAKHIR
Bagun awal namun terasa berat untuk berkemas. Aku sepatutnya menyambung kembara ke Thailand. Namun perancangan awal terpaksa dibatalkan kerana rakan yang sepatutnya turut serta gagal memperbaharui pasport. Aku agak terkilan dengan sikap begini. Sudahnya, aku terpaksa menaiki feri untuk pulang. Ternyata jeti penuh sesak dengan penumpang kerana musim cuti sekolah, ditambah dengan sambutan Krismas. Setelah bersesak-sesak dapatlah kami menaiki feri dengan selamat dan tiba di Kuala Perlis seperti yang dijadualkan.