Pages

Sunday, January 6, 2013

Langkawi - coretan perjalanan

As salam
Sekian lama menyepi, mungkin kerana hilang ghairah untuk menulis atau sekadar rutin malas makin menjadi-jadi. Kalau tamsilan parang, aku mungkin sudah mula berkarat. Maka, perlu diasah lagi dengan memerah otak mencari susun atur aksara..

Langkapuri, pulau lagenda misteri. Sekian lama ku pendam niat untuk menjejak kaki ke bumi Mahsuri ini. Namun, pasti ada sahaja halangan yang merintang. Nekad menuntas hajat yg sering tertunda, ku pejam mata menempah tiket penerbangan pada awal 2013. Dan mungkin kerana rezeki yang telah tersurat, tiba-tiba syarikat bermurah hati untuk menawarkan percutian ke Langkawi. Sekali lagi, tanpa berfikir panjang aku menempah tiket penerbangan ke sana. 

Meskipun percutian kali ini atas biaya syarikat, tapi tema free and easy (sebenarnya utk menghabiskan sisa budget terkumpul) membuatkan kami berasa sedikit bebas. Dengan penyertaan mencecah 100 org, bukanlah satu tugas mudah utk memastikan semua aktiviti berjalan lancar.
Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang sejam ku gunakan sepenuhnya utk melelapkan mata. Selaku ahli rombongan pertama yang tiba, aku perlu menggunakan masa terluang utk meninjau keadaan sebelum 'pasukan' utama tiba... hmmmm

Aku tiba di bandara (meminjam akronim tanah seberang) lewat dari jadual asal angkara kesesakan di LCCT. Mengikut perancangan asal akan ada wakil dari agen pelancongan yang menyambut ketibaan di pintu keluar. Dengan beg sandang yang sarat serta kamera yang terasa semakin berat bergayutan di bahu, aku melilau mencari kelibat org yang dimaksudkan. Malangnya, tidak ada sesiapa di situ. hanya sekelompok kecil manusia sedang santai di bangku. Satu impresi yang gerah... silapnya, aku terlupa untuk mengambil nomor telefon org pengantara di sini. Pengajaran penting yg terlupakan, sentiasa pastikan komunikasi berjalan lancar.
Berlegar-legar sekitar 10 minit, barulah aku berjumpa dengan En Ruzaidi, yang menurut beliau telah menunggu sejak setengah jam lepas. Aku jadi sedikit keliru, sbb aku org terawal keluar dari balai ketibaan tadi. Mengenangkan aku juga tersilap maka aku maafkan penafian beliau. Kami terus bergerak ke Sandy Beach Resot, Cenang untuk daftar masuk. Bilik dengan 2 katil bersaiz queen, penyaman udara dan TV. Cukup untuk berehat sebentar sebelum keluar lagi menjelajah.

Penjejakalam.blogspot.com
Pantai Cenang, Langkawi

Pantai Cenang (yang kemudiannya aku ketahui pantai ke-5 tercantik di Langkawi) tidaklah secantik yang aku bayangkan. Mungkin aku sudah terbiasa dengan panorama pantai yang lebih cantik di Sabah, meskipun kurang promosi, maka aku kurang ghairah di sini. Diapit pulau dari kedua-dua sisi, menjadikan Pantai Cenang kelihatan sempit. Dari sebelah kiri, kelihatan tulisan gergasi terpampang "Langkawi Permata Kedah" berlatarkan bukit yang menjulang. Manakala dari sisi kanan pula, tanjung dengan deretan rumah rehat dan nyiur sepanjang pantai. Kelip cahaya dari deretan kapal menghidupkan sedikit suasana yang malap. Bosan dengan pandangan yang kelam, aku memaksa kaki untuk menelusuri jalan yang mula sibuk. Cenang, sunyi di siang hari dan mula bernyawa kala malam menjelma. 





HARI KEDUA
Jeti Kuah sesak dengan kehadiran pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Rombongan KST selamat tiba sewaktu hampir tengah hari. Dari jeti, bergerak ke kilang gamat, salah satu produk tersohor yang melonjak nama Langkawi. Bukan kilang sebenarnya, pusat jualan yang disediakan khas utk mendapatkan produk gamat daripada pengasas gamat Langkawi. Harga yang ditawarkan memang murah berbanding tempat lain. Persekitaran yang bersih dan tertata rapi. Malah, disediakan khidmat 'pengurus' jualan yang memberi penerangan kepada pelanggan berkaitan produk jualan. Dan kerana tarikan sebegini, maka duitpun melayang bersama senyuman gembira. Alah membeli, menang memakai...

Penjejakalam.blogspot.com
Gamat dengan pelbagai variasi

Dari kilang gamat kami meneruskan perjalanan ke pekan Kuah dan berkunjung ke Bangunan Haji Ismail Group (HIG) untuk membeli belah. Tarikan utama tentunya coklat dan barangan pinggan mangkuk. Di HIG ini, kesemua coklat yang dijual adalah halal. Maka tidak timbul kesangsian utk pengguna muslim mendapatkan coklat dengan harga murah. Kesesakan pengunjung menggambarkan keyakinan mereka utk berbelanja di sini. Usai menabur 'bonus' di HIG, kami kemudian bergerak terus ke Sandy Beach Resort untuk makan tengah hari dan pendaftaran masuk. Dalam perjalanan, pemandu bas merangkap pemandu pelancong memberikan penerangan serba ringkas tentang Langkawi. Asal usul, cerita Mahsuri, dongeng, hikayat, tempat-tempat menarik, dan perkembangan terkini di samping panduan membeli belah.

Hujan lebat sekitar pukul 4 petang. Program khidmat masyarakat ditunda ke pukul 6. Mata terasa berat utk dibuka. Pantai mula sesak dengan kehadiran pengunjung. Selesai upacara ringkas menanam pokok, kami mula mengorak langkah mengutip cebisan-cebisan sampah sepanjang pantai. Gelagat peserta berbaju hijau mula menarik perhatian orang ramai. Kesempatan diguna sepenuhnya untuk mengajak mereka turut serta. Pengunjung dari luar negara ternyata menunjukkan sikap ramah dan kerjasama. Sementara pengunjung tempatan sekadar bertanya. Menjelang senja, aktiviti usai dan acara makan malam mengambil tempat. Selepas itu, bebas berkeliaran dan aku sekali lagi menyusur pantai.  Meladeni malam yang seamkin gerah dengan karenah marganya...
Panrita Kamika

Panrita Kamika

Panrita Kamika

Panrita Kamika

HARI KETIGA
Mengikut jadual, hari ini merupakan hari paling padat dengan aktiviti. Seawal pagi, selesai bersarapan kami diangkut bergilirgilir untuk aktiviti Island Hopping. Pulau Dayang Bunting diikuti eagle feeding dan seterusnya ke Pulau Beras Basah. Dayang Bunting, tasik air tawar dengan panorama yang mendamaikan. Kesempatan berenang di tasik ini tidak dipersiakan. Sejuk tapi nyaman. Sayang masa agak terhad. kami terpaksa bertolak lagi untuk melihat helang menjamah makanan. Hanya sebentar, dan bagi aku seperti tidak meninggalkan kesan langsung. Pulau Beras Basah... cantik tapi agak berbahaya kerana bot silih ganti mendarat. Kami sendiri hampir terlanggar kanak-kanak yang leka bermain air.

Keletihan dari aktiviti Island hopping amat terasa. Perjalanan balik dengan keadaan laut sedikit bergelora menambahkan rasa lapar yang mula meronta. Restoran Kampung Siam, dengan nama yang sedikit unik tapi sayangnya layanan serta menu yang kurang memuaskan. Pinggan yang terlalu kecil amat tidak menyelesakan untuk menjamah hidangan. Selesai menjamu selera, kami terus ke bilik untuk berehat..

Pada sebelah petang, bergerak lagi ke Gunung Mat Chincang untuk menaiki kereta kabel, satu lagi daya tarikan di pulau lagenda. namun rezeki kali ini nampaknya tidak menyebelahi. Sebaik tiba, hujan renyai mula turun. Untuk memburukkan lagi keadaan, barisan panjang pengunjung menanti giliran untuk menaiki kereta kabel membuatkan kamu dengan berat hati mengambil keputusan untuk membatalkan aktiviti tersebut. Seterusnya kami bergerak ke Idaman Suri, antara pusat tumpuan membeli belah para pelancong. Lewat senja, kembali semula ke bilik dan selepas itu bebas untuk melakukan aktiviti masing-masing.
Selepas berehat seketika, berbekal sisa bonus tahunan yang masih ada, kami mula mencari barangan cenderamata untuk dibawa pulang. Lewat malam barulah kembali semula ke bilik dan berehat.

HARI TERAKHIR
Bagun awal namun terasa berat untuk berkemas. Aku sepatutnya menyambung kembara ke Thailand. Namun perancangan awal terpaksa dibatalkan kerana rakan yang sepatutnya turut serta gagal memperbaharui pasport. Aku agak terkilan dengan sikap begini. Sudahnya, aku terpaksa menaiki feri untuk pulang. Ternyata jeti penuh sesak dengan penumpang kerana musim cuti sekolah, ditambah dengan sambutan Krismas. Setelah bersesak-sesak dapatlah kami menaiki feri dengan selamat dan tiba di Kuala Perlis seperti yang dijadualkan.

No comments:

Post a Comment