Pages

Friday, December 30, 2011

Medan : Kembara Mancanegara part 3 (Parapat -Simarjarunjung-Brastagi-Medan)

Kami mengambil keputusan untuk meredah laluan lain dalam perjalanan pulang ke Medan. Kali ini menyusur laluan lereng bukit di sepanjang danau untuk menghayati panorama indah dari tasik berkeluasan 30 000 km persegi. Melaui perkampungan dipenuhi ladang kopi dan teh walaupun tidak secantik Cameron hinghland tapi tetap menjanjikan ketenangan. Disajikan pemandangan indah sebegini membuatkan aku terlupa pada rasa mengantuk. Kami tiba di Simarjarunjung, salah sebuah kawasan rehat yang sentiasa dipenuhi wisatawan untuk melepas lelah dan merasa keenakan kopi Medan. Berehat sebentar sebelum meneruskan kembara ke Brastagi.


Dari Simarjarunjung, perjalanan bersambung melalui lereng bukit hingga memasuki Kabupaten Karo. Di Sini terdapat air terjun Sipiso-piso yang cukup cantik. berlatarkan bukit bukau diselimuti kabus dan danau yang terbentang luas, menerbitkan rasa kagum kepada setiap pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki. Sebaik kenderaan berhenti, kami berebut-rebut untuk keluar seakan tidak mahu melepaskan setiap saat yang berlalu. 

Air terjun SiPiso-piso
Menurut Ucop, (supir merangkap tourist guide tidak rasmi), untuk sampai ke air terjun, kami perlu menapak sehingga 1km yang biasanya memakan masa hampir sejam. Hambatan waktu seakan tidak mengizinkan kami untuk ke sana. Cukuplah sekadar memerhati dari pelantar bersama rakan-rakan yang lain. Agak ralat juga melihat keindahan alam dicemari sikap pengunjung yang tidak tahu menghargai kebersihan. Bungkusan bekas makanan kelihatan bersepah di mana-mana. Malah kemudahan yang disediakan agak minimal dan seakan-akan tidak terurus.


Danau Toba

Pelantar tinjau untuk menghayati keindahan air terjun dan danau
Udara dingin dan kadang kala berkabus tebal menjadikan panorama di sini amat menakjubkan. Mendengar deruan air sambil menghayati keindahan danau menerbitkan rasa tenang dan damai. Sayangnya kami tidak boleh menghabiskan masa lebih lama kerana perjalanan masih jauh.

Perancangan awalnya kami akan singgah di Brastagi, namun kerana macet dan hujan, kami hanya tiba di sana selepas Isyak. Keadaan yang gelap dan keletihan dari perjalanan yang panjang membuatkan kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kembali ke Medan. Mendaftar masuk ke Hotel Novotel dan berehat untuk aktiviti esok.. Shopping

Thursday, December 29, 2011

Medan : Kembara Mancanegara part 2 (Parapat-Samosir)

Bingkas bangun kala menyedari matahari sudah mula meninggi. Terlepas untuk melihat keindahan danau berteman sejuk embun dan pancaran suria yg pastinya menghadiahkan ketenangan dan panorama yang cukup menarik. Bergegas mandi kemudian menjamah sarapan bersama teman-teman yang pertama kali aku kenali. Anehnya, di bumi pancasila ini silaturrahim kami terjalin, Maha Kuasa Allah menentukan segala kejadian dan peristiwa.


Bergerak lagi, kali ini menuju ke Pulau Samosir. Sebuah pulau dalam lingkungan danau yang menjadi tumpuan para wisatawan. Tidak lengkap kunjungan ke Danau Toba jika tidak menjejakkan kaki ke Samosir. Feri bergerak perlahan membelah air yang kehijauan sementara angin bertiup agak keras. Sesekali rintik gerimis menyapa dalam perjalanan. Hampir setengah jam, akhirnya kami rapat ke dermaga.


Samosir, hanya sebuah pekan kecil yang dipenuhi gerai cenderamata. Ditemani pemandu pelancong, kami dibawa melawat ke makam purba Raja Sidabutar, antara objek wisata budaya yang mesti dikunjungi ketika melawat Samosir. Penerangan yang lengkap meski agak terburu-buru (menghafal teks mungkin) dari pemandu pelancong membuatkan kami hanya mampu mengangguk. Selepas itu melawat rumah adat masyarakat Batak Karo. Senibina mirip rumah gadang Minangkabau. menurut beliau. (maaf pak, namanya kelupaan nih), rumah dengan atap runcing hanya terdapat di tiga daerah di Indonesia iaitu Minang (Padang), Bali dan Medan (Batak). Uniknya, dengan atap yang besar tetapi pintu pula agak comel. Secara berseloroh, teman di sebelah berbisik.."macam mana nak bawak masuk sofa ni?" Aku hanya tersenyum... "buka atap"... tapi jawapan itu hanya bergumam dalam hati..

Makam Raja-raja Sidabutar


Replika rumah adat orang Batak (yang dalam gambar tu bukan org Batak ye, org Manchester.. hahaha)
Usai upacara lawatan tidak rasmi, kini tibalah masa untuk acara yang aku geruni, membeli belah. Melihat gumpalan rupiah di tangan, aku terbayang permainan Saidina. Kalau RM pun aku sering gagal mengukur nilai apatah lagi dalam matawang asing. Mencongak harga dan membandingkan dengan pasaran negara sendiri sebenarnya satu kesilapan besar. Semua barang menjadi murah. Secara otomatis, semua mau diborong. Manakala bagi penjaja pulak, menyedari wisatawan dari Malaysia, mereka menjadi galak mempromosi jualan masing-masing. Sampai pada satu tahap, adengan menarik lengan merimaskan aku dan dengan berat hati terpaksa menghulur rupiah agar terlepas dari 'kepungan' mereka.

Selepas puas membeli dan membelah, kami bergerak semula ke dermaga dan kembali ke Parapat. Nasi Padang yang dihidang cukup menyelerakan terutama sekali ayam goreng kampung. Kelainan yang ketara di sini adalah cara hidangan yang mereka sajikan. Lauk disediakan dan hanya dikira mengikut jumlah yang kita makan. Pada mulanya aku berasa cuak melihat jumlah hidangan yang terlalu banyak. Melihat riak muka kami, ketua rombongan menjelaskan keadaan sebenar. Barulah terasa sedikit kelegaan. Agenda seterusnya, kembali ke Medan melalui Permatang Siantar (Simarjarunjung) dan Brastagi. Aku punya agenda tersendiri senpanjang perjalanan ke Medan yang dijangka mengambil masa lima hingga enam jam. TIDUR....

Khazanah Medan

Salah sebuah pulau yg terdapat di Danau Toba

Tuesday, December 27, 2011

Medan : Kembara Mancanegara part 1 (Dari Polonia Ke Parapat)

* catatan kembara Medan ini sebenarnya terlalu lama diperap dan kesannya banyak lakaran peristiwa yang kabur dalam minda*|

Lokasi : Warung belakang Hotel Novotel
Masa : Selepas Maghrib
Suasana : Hujan lebat

Senario
Seorang kanak-kanak berbaju lusuh, seluar camping dengan muka polos penuh lakaran duka. Wajah simpati sambil menadah tangan mengharap huluran rupiah dari para pengunjung warung. Curahan hujan lebat yang singgah di atap, menyatu kemudian terus menyimbah turun tepat ke atas kepala tidak dihiraukan. Gigil dari rasa dingin air hujan dan hembusan angin masih gagal meraih simpati org lain. Dia masih setia berdiri di bawah curahan hujan. Masih dengan tangan terhulur tanpa suara. Gemertap bibir menahan gigil. Nun di hujung warung sebelah, beberapa kanak-kanak senasib turut sama melakukan perkara serupa. Cuma bezanya mereka tidak seteguh anak ini, hanya sekadar beberapa detik, terus berlalu mencari simpati dari org lain. Hampir 5 minit berlalu, dia tetap kaku di situ.
Aku terkesima. Sayu, sedih dan simpati menyatu. Lantas minda ligat meraih ingatan pada cerita Marhaen. Kisah dari Bapak Soekarno, mantan presiden pengagung Pancasila. Marhaen, remaja merempat yang diberi bekalan rupiah dari tangan presiden tapi tetap gagal mengangkat martabat diri keluar dari kepompong kemiskinan. Golongan sebegini yang sudah tidak boleh ditolong kerana buta ilmu dan penyerahan tuntas nasib diri pada takdir. Dari kisah itulah lahirnya istilah marhaen, utk golongan serba kekurangan.
Segera pula ingatan beralih pada petaka Tsunami yang menggoncang wilayah Acheh. Saat temuramah sebuah rangkaian televisyen dengan salah seorang kepala desa berhubung bantuan yang mereka perlukan pada saat sukar. Masih segar dalam ingatanku kala beliau dengan suara polos dan yakin mengatakan.."jangan beri kami duit, jangan berikan kami makanan atau minuman. Tapi berikan kepada kami cangkul dan peralatan untuk kami kembali membangun daerah ini.." Jujurnya, kala mendengar permintaan beliau, ada genangan air di kelopak mataku. Betapa teguh dan tabah beliau menghadapi cubaan. Sikap terpuji tanpa mengharap bantuan bersifat sementara. Masih gagah mengerah kudrat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dua citra manusia yang berbeda, dari bumi yang sama meninggalkan kesan yang mendalam. Aku simpati pada anak kecil itu tapi aku masih tidak mampu untuk menghulur bantuan kerana aku tidak sanggup menambah bilangan 'marhaen'. Dan aku berasa bersyukur kerana di Malaysia, aku belum pernah berjumpa anak bangsaku yang terpaksa meminta-minta.
Medan sebenarnya kembaraku secara sah yang julung kalinya ke Indonesia. Sebelum ini aku sudah pernah melintas sempadan tapi tanpa bekalan dokumen yang sewajarnya. Kesempatan dari promosi tambang murah aku pergunakan bersama teman untuk mencuba kelainan dari bercuti menjelajah belantara atau sekadar membentang khemah.
Kota Medan, kota ketiga terbesar selepas Jakarta dan Bandung. Juga kota terbesar di luar wilayah Jawa. Namun, Bandara Polonia agak kecil jika dibandingkan statusnya sebagai lapangan terbang antarabangsa. kesesakan jalan raya memang sudah sinonim dengan kota-kota besar di sini. Dari Polonia, kami bertiga bergerak terus ke Parapat. Laluan sempit dan berlubang seakan gagal menghalang Kijang Innova mendesit laju. Klakson yang ramah adalah tradisi jalanan di Medan. hanya selang seminit, rasanya telinga bingit diterjah bunyian dari setiap kenderaan yang lalu. Lampu isyarat? persetan semuanya, pemandu di sini buta warna. Masing-masing ingin cepat sampai ke destinasi. Tangan dan kaki lincah beraksi sedangkan mulut tetap sunyi dari sumpah seranah. Ini perbezaan yang ketara dengan sikap pemandu di Malaysia yang murah hati bersedekah makian dan umpatan. Mungkin ini juga salah satu faktor yang menyumbang kepada kadar kemalangan yang rendah berbanding negara kita meskipun dari segi prasarana mereka jauh tertinggal. Bukankah kata-kata itu satu doa. Maka, secara tidak langsung pemandu Malaysia setiap masa mendoakan kecelakaan kepada pemandu yang lain.
Perjalanan dari Medan ke Parapat mengambil masa sekitar 4 jam. Laluan sempit, berliku dan berlubang-lubang. Sepanjang perjalanan hati sentiasa berdebar-debar dek kepantasan kenderaan membelah laluan sesak namun supir kelihatan tenang dan penuh yakin. Kaki terasa kejang menekan brek halimunan aparah lagi ketika berselisih atau memotong trak membawa muatan. Dalam hati hanya mampu berdoa semoga dijauhkan dari musibah. Menjelang tengah malam, supir yang masih belia memberitahu kami sudah memasuki daerah Parapat, tempat di mana Danau Toba terbentang. Dari kejauhan, kerlipan lampu kelihatan indah namun gelap malam menghalang kami untuk melihat keindahan danau volcanic terbesar di Asia Tenggara ini. Sewaktu kenderaan berhenti, aku bergegas keluar kerana kaki seakan kaku dan urat belakang mula perih. Sebaik melangkah keluar, hembusan angin dingin menyapa keras dan barulah kami tahu bahawa Parapat adalah daerah tanah tinggi. Mujur aku mengenakan jaket tebal. Terasa segar seluruh tubuh dan hati kembali tenteram. Toba, danau yang sebelum ini cuma bermain di bibir kini terbentang di hadapan mata. Syukur pada Illahi kerana memberi kesempatan untuk aku berkunjung ke salah satu tempat yang sering ku impikan sejak kecil lagi.....

Monday, December 26, 2011

Salam dari belantara...

Beli rumah mahal-mahal, hutang puluh-puluh tahun tapi masih jugak pi hutan tidur, apa kes?..
Ayat ni mmg best kalau didengar time berasak-asak di bawah khemah sambil ditemani bunyian 'penjaga' hutan, ditambah pulak curahan hujan yg mcm tidak mahu berhenti dan kesejukan sampai ke tulang.. perghh! masa ni lah teringat betapa selesanya tidur di tilam empuk bersama hangat pelukan isteri (bagi yg sdh kawen la)... Pernah seorang kawan gua bertanya, 'apa faedah masuk hutan, turun naik gunung tu, buat sakit badan je.." mula-mula dengar ayat tu rasa macam nak bagi penampar. Gua suka masuk hutan gua punya pasal la. Lu jangan nak menyibuk boleh tak?.. ayat ni gua cuma simpan dalam hati. Sebab gua tahu, org2 begini jenis yang tidak faham estetika alam dan makna sebuah pengalaman. Gua hidup hasil dari balak. dan balak tu cuma ada di hutan. Jadi, gua ada sebab untuk menghargai alam yang memberi gua kesempatan merasai keseronokan hidup di kota.
Plan asal gua dgn team nak menjelajah Jerangkang. Tapi nasihat dari guide membuatkan kami mengalih lokasi. kawasan pantai timur tidak selamat buat masa ini berikutan keadaan cuaca yg tidak menentu. Gua sendiri pada asalnya sedikit ragu masa dorang cadangkan untuk ke Jerangkang. Musim tengkujuh begini bererti sengaja mencari 'penyakit' kalau berkeras mahu meneroka hutan. Dari sebuah alam yg tenang, ia boleh berubah drastik menjadi kawasan penuh rintangan. Pengalaman sejak kecil membuatkan gua lali dengan keadaan begini. Cuma gua risau dengan anggota yg lain, yang hanya mengenal hutan sebagai medan riadah. Mujur jugak kami tidak dibenarkan untuk ke Jerangkang. Biarpun agak ralat, gua tetap bersyukur. Selepas sedikit perbincangan, lokasi di alih ke Lubuk Petai, sebuah kawasan perkhemahan di kaki Gunung Datuk, Negeri Sembilan. Trekking dari bawah ke Lubuk Petai cuma mengambil masa lebih kurang 20-30 minit. Sedikit mudah biarpun trek basah dan licin.
inilah Gunung Datuk (klu ikut skala, sebenarnya cuma bukit)..

Pukul 11.00 malam kami mula berkumpul di Taman Kiai Khusairi dan menyiapkan kelengkapan. Menjelang tengah malam mula bergerak dengan 3 buah kereta. Singgah sekejap di Uptown Shah Alam kemudian terus ke R&R Dengkil. Dari situ kami bergerak terus ke Port Dickson untuk hentian sebelum terus ke Rembau. Malam di Teluk Kemang agak tenang biarpun sesekali gelagat mat rempit dan suku kaki botol mencacatkan kedamaian. Menjelang subuh, kehadiran kupu-kupu malam menarik minat sebahagian anggota kami. Sekadar untuk berhibur dan menyakat anggota lain sebelum berangkat menuju destinasi. Sebahagian anggota sudah mula lena di atas pentas yg kami jadikan port untuk tidur. Suara dengkuran jelas kedengaran membuatkan gua tidak boleh melelapkan. Hanya 3 jam tidur dalam tempoh 24 jam mula merisaukan gua. Takut stamina merosot masa trekking nanti....
Pantai Teluk Kemang

Menjelang subuh, kami bergerak lagi untuk menyiapkan diri dan bersarapan. Nasi lemak yang agak menyelerakan. Seterusnya bertolak ke kampung halaman Bro Ujang, penglipur lara dalam team yang sentiasa riuh dengan jenaka dan kutukan mautnya. Gua ambil kesempatan utk melelapkan diri tapi speaker Ujang yg tidak pernah berehat merencatkan strategi gua. Pagi sekitar pukul 7 kami tiba di rumah pusaka Ujang, (sempat tersilap arah sebentar akibat over confident). Dari situ kami diperkenalkan dgn Fuad, org yg bertanggugjawab utk membawa kami ke Lubuk Petai. Kehadiran Fuad melengkapkan jumlah kami kepada 14 org kesemuanya. Sedikit perbincangan dan cadangan untuk meninjau kawasan lain sebelum ke Lubuk Petai. Fuad membawa kami ke Lubuk Paku. Tapi kawasan tu kurang menarik dan gua sendiri kurang berminat. Akhirnya keputusan muktamad untuk kekal dengan plan asal ke Lubuk Petai.
Sampai di kaki gunung, bersiap dan sempat menumpang untuk meletak kenderaan, hujan mula turun. Dari gerimis dan akhirnya sedikit lebat. Kami gagahkan jugak untuk meneruskan perjalanan. Lebih setengah jam kami habiskan sebelum tiba di tapak perkhemahan. Mujur hujan sudah berhenti dan tapak yang sedikit luas memudahkan kami mendirikan khemah. Sebuah khemah induk dan 3 buah dome tent siap dalam jangka masa singkat. Gua dengan Bro Hazli serta Fuad terus ke sungai mencuba nasib mengecas ikan. Hasilnya agak memberangsangkan. Kelah Merah, Tengas, Udang malah katakpun  ada. Kemilau sisik berwarna perak membuatkan kami tidak menghiraukan hujan yang mula mencurah. Batu semakin licin akhirnya menagih korban. Fuad merasmikan kepejalan batu dengan mukanya. Mujur masih boleh bertahan. Selepas itu gua pula menguji kekuatan batu dengan tulang kering. Hasilnya, tatto tanpa rupa menghiasai tulang kering gua. Pedih dan sakit hilang begitu sahaja kala melihat kelah menyerah diri. Terkenang zaman kanak-kanak, masa tu gua memang suka menangguk ikan. Atau dalam istilah kg gua 'karemmo'. Kadang bukan setakat ikan, gua pernah 'tertangkap' biawak... hahahaha
Kelah, Tengas dan Udang (katak terpaksa gua delete atas sebab2 keselamatan.. hehehe)
 Hujan masih belum reda. Khemah mula di banjiri air. Gua periksa khemah, dan seperti jangkaan, air sudah mula bergenang di dalam. Habis lencun sleeping bag gua. Alamatnya, tidur dalam kesejukan la malam ni.
Selepas menjamah sedikit makanan, gua, Fuad, Omar, Asri, Syuib dan Mizan bergerak ke bawah semula. Peralatan BBQ, kanvas dan air mineral perlu dibawa naik sementara Fuad terpaksa balik atas urusan keluarga. Kali ini pergerakan agak pantas tanpa perlu berehat. Ulang alik cuma lebih kurang 40 minit. Acara bbq bersambung. Kali ini selain ayam, ada kambing dengan black pepper sauce, sotong dan udang. Makan mewah dalam hutan...
Sebelah malam, keadaan cuaca masih tidak menentu. Hujan lebat sekejap-sekejap dan angin mula bertiup kencang. Gua cuba untuk tidur dalam dome, tapi panas. Mengantuk dah sampai tahap maksimum tapi masih tidak boleh lelap. Beralih keluar, sejuk pulak kerana angin semakin kencang. Menjelang subuh, angin bertukar menjadi ribut. Derak ranting dan dahan patah semakin merunsingkan kami. Tapi masih ada jugak yg tertidur pulas.
Pagi, terpaksa berkemas sbb agin masih kencang. Biarpun masih belum puas, tapi keselamatan harus diutamakan. Selepas sarapan, kami bergegas membuka khemah. Kembara kali ini berakhir dengan selamat dan penuh keceriaan. Pengalaman yang tidak mungkin dapat dikecapi jika tidak merasai sendiri suara alam. Mengikut perancangan, kami akan ke Jerangkang untuk kembara seterusnya. Selepas itu kembali mencabar Nuang sampai ke puncak, Insyaallah.
Selepas semalaman bermain hujan... masih mampu tersenyum!!

wajah-wajah bangga selepas berjaya mengharungi cabaran di Lubuk Petai

inilah wajah gua selepas berjaya menderma darah kepada pacat dan batu sungai... hehehe

Bagi gua, secara peribadi, hutan sentiasa menjanjikan ketenangan dan catatan nostalgia yg tidak pernah mungkir. Belantara ini memberi gua kehidupan. Belantara ini jugalah yang menghantar arwah ayah menghadap Illahi. Gua sentiasa beringat, alam belantara bukan sekadar tempat untuk beriadah. Bukan sekadar tempat untuk melepas segala lelah di kota. Tapi belantara adalah kehidupan dengan citra penuh misteri. Salam dari belantara....


Friday, December 23, 2011

Mencari diri

Hari ini tiba-tiba gua rasa bersemangat untuk kembali menulis.. (tapi ntah sampai berapa lama). Mungkin rasa itu hadir setelah berkenalan dengan seorang teman baru yg hobinya juga menulis. Mungkin....
Post terakhir rasanya hampir setahun yg lalu. Perghhh, punyalah lama. Bahasa pulak tu jenis laras tinggi (kunun), bombastik dan penuh emosi... hehehe. lepas ini gua cuba cara yg lebih santai...
Sebenarnya banyak catatan pengalaman yg gua ingin abadikan semasa masih segar dalam otak gua yg semakin lembab ni. Tapi dasar pemalas dan suka bertangguh akhirnya semua berkarat. Kembara Pangkor, Cameron, Medan, Batam dan banyak lagi tinggal terperap menunggu masa dihakis virus pelupa. Betapa sayang segala catatan pengalaman tidak dapat dikongsi bersama teman-teman. Sekadar lisan mmg mudah tetapi kalau bukti tarak, org susah mau percaya. Lagipun sampai bila gua bertahan sihat dan berkemampuan utk menghadap laptop ni. Ditakdirkan suatu hari nnt gua tidak mampu lagi untuk bercakap, inilah satu-satunya medium untuk menceritakan pengalaman kepada generasi gua.
Esok plan nak menjelajah ke Jerangkang Falls, Maran, Pahang. Kalau dulu gua dah ke Bekelah, kali ini nak melawat 'jirannya' pulak. Orang kata, Jerangkang lagi mencabar walaupun tak segah Bekelah. Team Otai dah ajak bermusafir, jadi tunggu apa lagi. Cuti seminggu ni boleh diguna sebaik mungkin daripada memerap di bilik melayan 'muka buku' dari pagi santak ke tengah malam...
Insyaallah, kembara kali ini jadi pemangkin utk gua kembali aktif menulis. Di samping tu, gua cuba recall memori yang sudah banyak berkarat dalam kembara-kembara sebelum ini. Semoga gua dapat kekuatan utk terus menulis dan berkongsi pengalaman buat semua....

Thursday, January 6, 2011

SOTC to Tampi-tampi

15 tahun berlalu sejak kali terakhir meninggalkan bumi Semporna, kini aku kembali menjejak rakan2 lama. perasaan teruja begitu kuat menguasai diri. Bermula dengan FB, mengatur pertemuan semula (reunion) untuk batch 95/96, akhirnya hasrat yg terpendam kini terlaksana sudah....

3 Dis 2010
 Semalam ke Sunway Pyramid bertemu Saman untuk mengambil cenderamata kenangan reunion pertama kami. sedikit ralat kerana dia terpaksa menarik diri sedangkan dia antara org kuat untuk program pertama ini. Dan dia juga antara org yg ingin ku temui di Semporna nnt. meski sama-sama merantau di bumi Malaya, namun baru semalam kami dapat bersua muka. raut wajah yg kian matang namun masih seperti dahulu; sentiasa petah mengatur bicara.
Pukul 12 tgh malam, aku sudah terpacak di LCCT... sedangkan penerbangan dijangka pada pukul 7.15 pagi. Makan larut malam sekadar untuk mengalas perut yg mula pedih sementara menunggu saat berlepas. Bosan... mujur ada novel untuk dibaca... dan seperti biasa, mata semakin kuyu kala melayan deretan aksara...
Check-in dan terus ke balai berlepas. Melangkah dengan senyum dan debar... Jam 10.15 pagi, selamat mendarat di Lapangan terbang Sandakan... menunggu saudara Black untuk menjemput sekaligus bertolak ke Semporna... gerimis kian kasar, akhirnya mencurah namun hanya seketika. Berehat sebelum meneruskan perjalanan. Riuh melayan karenah anak buah yg semakin nakal amat menyeronokkan.
Jam 2 ptg kami bertolak dan sepanjang perjalanan aku asyik dengan Ifah dan Anis, melayan keletah mereka hingga hilang rasa mengantuk ...
8 malam... selamat tiba di Semporna, rincinya - Semporna Ocean Tourism Centre (SOTC) atau lebih dikenali sebagai Floating. Tempat yg menyimpan seribu kenangan ketika masih menuntut di SMK Abdullah dahulu.
Dalam asyik  memotret aku tidak sedar kehadiran Ann dan Rasyidah... kelu lidah kala mata bertentangan. imbas kenangan 15 thn yg lampau seakan segar dalam kotak memori. Sedikit kurus tetapi masih seperti dahulu, terutama senyum manis yg tak pernah lekang dari bibir mungilnya. Serba salah dan tingkah menjadi kaku.... harus bagaimana bicara dimula??? Mujur Rosni dan Dyg hadir mengusir gelisah... dengan celoteh yg sama 15 thn lampau, hanya fizikal yg mengingatkan aku bahawa kami kini telah lama merentas masa....
 setelah mendaftar masuk di Dragon Inn Resort, menyabung bicara di resotran dengan kehadiran semakin ramai teman... antara lain Mansah dan Isteri dan Ali Usni. Bicara rancak akhirnya bersambung ke kedai kopi tanpa ditemani pasangan. Mansur, yg baru menyambut kelahiran anak keenam turut menyertai kami. Rupanya dia paling produktif antara sekian ramai teman...
4 Dis 2010
Kantuk masih terasa, penangan berembun singga pukul 4 pagi tadi. Hujan lebat sekitar pukul 6 mengundang resah atas kelancaran program. Serasa mata terlalu berat untukdibuka. Deringan telefon yag bertalu memaksa aku untuk bangkit. mandi dan bersiap untuk sarapan. masih ada sedikit waktu, kami meronda melihat aquarium hidup di SOTC. Hari ini jadual dijangka penuh. Nasihat dari Rosni untuk melihat terlebih dahulu suasana Semporna Holiday Resort sebelum daftar keluar ternyata banyak afdalnya. Persekitaran yg sunyi serta laluan yg agak teruk memadamkan hasrat untuk menginap di sini. Sudahnya, kami lanjutkan tempoh di floating.
Semporna Holiday Resort - persekitaran yg sunyi dan kurang terurus. Tambah memburukkan keadaan dengan layanan pekerja restoran yg acuh tak acuh dengan kehadiran pelanggan. kesunyian pagi terpadam dek celoteh rakan-rakan yg sudah sekian lama terpisah. Kehadiran semakin ramai teman menambah gamat suasana. Menjelang tengah hari kami bersurai untuk menjamu selera di tempat lain. Sebelah petang pula ke gelanggang futsal menguji stamina...

Ternyata kudrat tidak mampu memenuhi tuntutan stamina. umur yg semakin beranjak dan kesibukan kerja membatas pergerakan untuk mengatur aksi. sejam penuh bermain, ramai yg terduduk keletihan. Padahal, suatu ketika dahulu, inilah wajah-wajah yang tidak pernah mungkir beraksi di padang Abdullah....

Jamuan ReUnion- akhirnya tercapai jugak hasrat untuk bertemu rakan rakan seperjuangan. Meski hanya sebilangan kecil yang hadir tapi amat bermakna. hilang segala lelah dari perjalanan yg panjang. apatah lagi ketika menghadap juadah, terasa lebih dari nilai sebenar bayaran. Terima kasih dan pujian seikhlas hati buat Rosni yg bertungkus lumus memastikan segalanya berjalan lancar. Aku cuma sedikit ralat kerana tidak dapat bertemu dengan Saman, rakan yang sentiasa memberi dorongan dan saingan. Berjaya Sudin, antara pencetus awal idea reUnion. Jane Enez, juga antara pelopor dan paling galak memberi cadangan bernas. Choy dan Tutie- rakan yg gagal ku jejak sehingga majlis berlangsung serta rakan-rakan dari Kunak yang tidak dapat turut serta melainkan Jamal. Buat Mashuri, Maria, Lynn, Ahmad Rudi, Delia dan rakan-rakan lain yang terikat dengan komitmen, insyaallah akan ada reunion kedua menyusul penghujung tahun ini...
Rakaman terima kasih juga kepada semua yg hadir dan sama-sama memeriahkan majlis. Layanan mesra daripada kalian amat dihargai. Semoga reUnion kedua nanti akan berlangsung lebih meriah dan penuh makna...

SOTC ke Tampi-Tampi.... Kenangan menjadi rinduan
MABUL... nantikan kehadiran kami.....