Pages

Friday, December 30, 2011

Medan : Kembara Mancanegara part 3 (Parapat -Simarjarunjung-Brastagi-Medan)

Kami mengambil keputusan untuk meredah laluan lain dalam perjalanan pulang ke Medan. Kali ini menyusur laluan lereng bukit di sepanjang danau untuk menghayati panorama indah dari tasik berkeluasan 30 000 km persegi. Melaui perkampungan dipenuhi ladang kopi dan teh walaupun tidak secantik Cameron hinghland tapi tetap menjanjikan ketenangan. Disajikan pemandangan indah sebegini membuatkan aku terlupa pada rasa mengantuk. Kami tiba di Simarjarunjung, salah sebuah kawasan rehat yang sentiasa dipenuhi wisatawan untuk melepas lelah dan merasa keenakan kopi Medan. Berehat sebentar sebelum meneruskan kembara ke Brastagi.


Dari Simarjarunjung, perjalanan bersambung melalui lereng bukit hingga memasuki Kabupaten Karo. Di Sini terdapat air terjun Sipiso-piso yang cukup cantik. berlatarkan bukit bukau diselimuti kabus dan danau yang terbentang luas, menerbitkan rasa kagum kepada setiap pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki. Sebaik kenderaan berhenti, kami berebut-rebut untuk keluar seakan tidak mahu melepaskan setiap saat yang berlalu. 

Air terjun SiPiso-piso
Menurut Ucop, (supir merangkap tourist guide tidak rasmi), untuk sampai ke air terjun, kami perlu menapak sehingga 1km yang biasanya memakan masa hampir sejam. Hambatan waktu seakan tidak mengizinkan kami untuk ke sana. Cukuplah sekadar memerhati dari pelantar bersama rakan-rakan yang lain. Agak ralat juga melihat keindahan alam dicemari sikap pengunjung yang tidak tahu menghargai kebersihan. Bungkusan bekas makanan kelihatan bersepah di mana-mana. Malah kemudahan yang disediakan agak minimal dan seakan-akan tidak terurus.


Danau Toba

Pelantar tinjau untuk menghayati keindahan air terjun dan danau
Udara dingin dan kadang kala berkabus tebal menjadikan panorama di sini amat menakjubkan. Mendengar deruan air sambil menghayati keindahan danau menerbitkan rasa tenang dan damai. Sayangnya kami tidak boleh menghabiskan masa lebih lama kerana perjalanan masih jauh.

Perancangan awalnya kami akan singgah di Brastagi, namun kerana macet dan hujan, kami hanya tiba di sana selepas Isyak. Keadaan yang gelap dan keletihan dari perjalanan yang panjang membuatkan kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kembali ke Medan. Mendaftar masuk ke Hotel Novotel dan berehat untuk aktiviti esok.. Shopping

No comments:

Post a Comment