Pages

Sunday, January 13, 2013

"Inqilab! Zindabad!" ~ HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT 112

Seorang teman bertanya.. "Apa faedah lu pi berhimpun tu, buat penat je. Dah la panas, lapar.. takde kerja lain ke?" Gua hanya tersenyum tapi dalam hati rasa nak menyembur je. Sabar!! 
Pagi 12 Januari, gua sebenarnya masih berbelah bagi untuk turun ke Stadium Merdeka. Teman serumah yang mulanya beria-ia untuk turut serta masih berlingkar. Memikirkan ini perhimpunan terakhir sebelum PRU13, dan mungkin sejarah terlakar di sini, gua capai kamera dan sedikit kelengkapan sebagai 'persiapan' dan terus memecut motor gua ke hentian bas Klang. Tiba di KL sejam kemudian, keadaan mula sesak. Masjid Negara sudah di banjiri gelombang kuning. Selain itu terdapat banyak lagi 'warna' memenuhi perkarangan masjid. Gua sempat mendapatkan sehelai t-shirt HKR berwana hitam (ntah reprentasi kumpulan mana gua sendiri tidak pasti.. hehehe)

Masjid Negara

Menjelang pukul 2 petang, laungan takbir mula berkumandang. Lautan manusia sudah memenuhi jalanraya. Dari masjid melalui bangunan KTM, ribuan warna memenuhi ruangan. Terdengar seloroh peserta yang mengatakan jumlah keseluruhan cuma 1000 orang. Gurauan yang disambut derai ketawa sambil sedikit sumpah seranah terhadap TV3 yang sering tersilap kira jika melibatkan parti oposisi. Gua bergerak bersama barisan unit amal, sambil terus merakam foto-foto kenangan dan bukti kebangkitan suara rakyat yang sering dinafikan pihak berkuasa.
Bergambar sebelum berarak

semakin sesak dengan peserta

melintasi bangunan KTM

sokongan pembakar semangat.. hehehe

Sewaktu tiba di perkarangan Stadium Merdeka, keadaan terlalu sesak. Laluan alternatif dengan memanjat pagar dan meredah kawasan semak terpaksa dipilih. Seorang makcik dalam suara keletihan tapi masih bernada ceria cuba membayangkan andai Najib melihat keadaannya saat itu pasti berasa gentar dengan semangat kami semua. Gua hanya tersenyum!!
menghargai semangat 

unit amal

Laluan penuh sesak menghampiri Stadium Merdeka

Perkarangan stadium yang penuh sesak

Pintu masuk utama sudah ditutup. Kebenaran untuk mengadakan perhimpunan dengan kapasiti 30 000 orang bagi gua satu syarat yang tidak masuk akal. Kalau konsert tak ada pulak had penonton. Gila ka apa?? Lantak dia la, gua dah sampai di sini takkan nak balik kosong. Nasib baik pintu sisi masih dibuka dan kami semua berasak-asak untuk masuk. Meskipun pijar matahari mula membahang, gua terus menyelit hingga ke kawasan tempat duduk.. dan, itu dia... Subhanallah..!!! Lautan manusia memenuhi segenap ruang Stadium keramat yang pernah merakam sejarah kemerdekaan negara. (Sebentar tadi gua membaca laporan Harian Metro yang menganggarkan sekitar 40-45 000 peserta sahaja yang menghadiri himpunan ini, menurut laporan polis kononya. Gua nak pesan pada editor HM, lu pi ambik kertas ulangan matematik utk PMR atau UPSR, belajar balik asas mengira!!!) Dan gua dengan bangangnya cuba mengira jumlah sebenar yang hadir.. hasilnya?? tak terkira, ramai sangat. Kat dalam dah sesak, kat luar lebih ramai yang berasak-asak. Tak percaya?? Lu kira sendiri....

Gambar ihsan dari Tuan Ibrahim Tuan Man (Official FB account)


Tengok berita TV3 lagilah gua bengang. Ada ka patut dia cakap himpunan shamsidar. Ikut suka hati dia je nak letak nama. Org dah cakap Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 112. Dari mana dapat nama Shamsidar tu gua pun tak pasti. Hallo bhai, gua turun bukan kerana gua taksub dengan individu. Gua turun sebeb gua benci pembohong macam lu!!! Kalau benda yang nyata macam ni pun lu boleh auta, apa integriti lu untuk lapor benda lain secara adil? Lu ingat lagi kes lakonan semula 'mat rempit' yang lu siarkan dulu sampai lu terpaksa mintak maaf?? Pi mampus la lu!!!

Semangat rakyat

Laungan merdeka bergema

hanya 45K?? cisss... 

Masa balik dari perhimpunan tu gua sembang dengan sorang brader dari Shah Alam. Dalam seloroh brader tu cakap himpunan kali ni kurang thrill, tak meninggalkan kesan sangat. Gua tanya kenapa. Brader tu cakap sebab tak dapat merasa water canon dan tear gas. Gua senyum je. Gua sebenarnya sedikit terkilan sebab tak dapat join masa Bersih 1.0. Waktu tu kurang promo, acara dah abis baru gua tau. Bersih 2.0 pulak gua ke Kuching. Ingat lagi masa ke LCCT laluan dah banyak di tutup. Seminggu sebelum tu lagi dah mula buat sekatan jalan. Nak pegi kerja pun susah. Gua menyumpah dengan geng-geng polis masa tu. Bersih 3.0 pulak gua terpaksa kerja. Kali ni gua tak kisah water canon atau tear gas, gua redah je. Nasib baik himpunan berjalan lancar. Geng polis pun bagi kerjasama yang baik. Dorang setakat terpacak sambil senyum. Tenang hati tengok suasana macam tu. Kan best kalau dari dulu lu buat macam ni, tak ada la sesak lokap dengan tahanan tu. Orang pun tak menyumpah kat lu.

Dalam bas KL-Klang, gua terbayang semula wajah-wajah peserta himpunan tadi. Dari kanak-kanak hinggalah yang dah berpencen, semua membayangkan tekad untuk berubah. Gua percaya, ini manifestasi kebencian rakyat terhadap salah guna kuasa yang menakluk sistem pemerintahan negara. Dan bagi elit penguasa, keadaan seperti ini pasti menimbulkan rasa gerun di hati mereka. Gua nak bagi tau, kami bukan benci BN, tapi kami cukup menyampah dengan pemimpin yang buta mata hatinya. Pemimpin yang hanya bijak menyusun retorik. Denial Syndrom yang tidak pernah lekang dari bibir mereka. Over killing yang korang buat lebih busuk dari PRU12. Dan terimalah 'hadiah' dari kami atas lafaz janji yang korang khianati. Ini kalilah!!! seperti yang dilaungkan oleh Bhagat Singh, tokoh revolusi India yang terpinggir...

INQILAB!! ZINDABAD!!!!

p/s: buat rakan-rakan HKR, semoga kita bersatu lagi di stadium ini selepas PRU13, insyaallah.. MERDEKA!! RAKYAT!!!

Tuesday, January 8, 2013

Helang Batu Kawi.. dan sumpah pun sirna


Langka, dalam bahasa sanskrit bermaksud keindahan. Wi pula bermaksud tidak terkira. Langkawi, atau keindahan tidak terkira. Mungkin retorik yang agak berlebihan. Atau boleh saja bermaksud helang kawi (helang merah) atau helang batu kawi, dua objek yang sinonim dengan pulau lagenda ini. Namun pengertian atau akronim dari pemandu pelancong juga tidak kurang menariknya; Lelaki Akan Nampak Gagah Kerana Ada Wanita Istimewa... Mahsuri!!

Bertahun berlalu, lagenda Mahsuri terus subur membenteng Langkawi. Zuriat Pandak Maya dan Mek Andak Alang, yang lahir berselubung mitos terus bugar dalam lipatan sejarah. Pemergiannya penuh tragedi. Darah putih yang bersimbah mekar bersama sumpah. Betapa serakah Datuk Pekermajaya dan bisa bicara Mahura akhirnya menghantar Puteri Mahsuri menghadap Illahi.

Mahsuri, hanyalah rakyat biasa yang menjadi mangsa tohmah atas segala kelebihan yang dimiliki. Paras rupawan digabung pekerti terpuji. Limpahan kemewahan serta sanjungan masyarakat menjadi duri bagi orang lain. Melihat kembali tragedi ini, rasanya tiada yang istimewa untuk diperkatakan. Kejadian seumpama ini telah banyak mewarnai sejarah bangsa, sebelum atau selepas era Mahsuri. Mungkin kerana hikayat sumpah tujuh keturunan yang menyebabkan Mahsuri lebih mendapat tempat.

Sekian lama dimamah sumpah, Langkawi muncul antara kawasan tarikan pelancong pada masa kini. Suatu ketika, dikhabarkan bahawa kerbau lebih banyak berbanding manusia di pulau ini. Inisiatif Tunku untuk menjejak kubur Mahsuri membawa bersama peluang pekerjaan sekaligus membuka pintu Langkawi kepada dunia luar. Mahathir, mantan perdana menteri malaysia telah mengisytiharkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai pada tahun 1987. Maka, Langkawi mula bernyawa setelah sekian lama berselubung sumpah.
Namun, ada juga yang mengaitkan kemakmuran Langkawi dengan kelahiran generasi ketujuh atau kelapan Mahsuri. Srinitra Yayee @ Nong May atau lebih dikenali sebagai Wan Aishah Wan Nawawi dikatakan telah melerai sumpah Mahsuri.

Nong May @ Wan Aishah Wan Nawawi 

Seanggun leluhur
Menetap di Kampung Tambon, Kemala, Phuket, Wan Aishah sempat menjadi idola rakyat Malaysia sekitar awal 90-an apabila kisahnya berjaya dijejak Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah yang kemudian disusuli Eksepidisi Melawat Phuket anjuran majalah Al-Islam pada tahun 1998. Ketika itu, Wan Aishah baru berusia 12 tahun. Diambil sebagai anak angkat Utusan Melayu (M), sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama setahun sebelum melanjutkan pengajian di Universitiy of Bangkok dalam jurusan komunikasi. Selamat mendirikan rumahtangga pada 22 April 2010 dengan Alee Tongyon, seorang usahawan muda industri pelancongan dari kampung yang sama.

Kini Langkawi berwajah ceria. Mendung hitam yang berkampung telah sirna. Dari sebuah pulau jajahan Siam, Langkawi berubah menjadi kawasan tumpuan pelancong terutama pada musim cuti sekolah. Tarikan status bebas cukai, Pameran maritim dan aeroangkasa peringkat antarabangsa disamping keindahan panorama berjaya mengangkat martabat pulau lagenda ini.

Namun dalam ghairah mengejar keuntungan, kita sering leka dan haloba. Harga makanan yang tidak setimpal dengan rasa, susila yang kian luntur, kebejatan moral kian merajalela, sunnah yang terlupa digenggam erat adalah harga kepada sebuah kemajuan. Berapa ramai yang hadir ke Langkawi untuk melakukan ziarah ke makam Mahsuri? Masih adakah yang sudi bertafakur merenung kesilapan leluhur kita membuang mutiara kurnia? atau Langkawi sekadar koleksi daftar percutian untuk berbelanja...

Atau perlukan lahir seorang lagi Mahsuri untuk di'korban'kan agar kita lebih waspada..???

mutiara yang hilang





DAN SUMPAH PUN SIRNA

TANAH LANGKA TIDAK TERPERI
BATU KAWI MEMASAK BUMI
HADIR SURI BERGANDING SERI
HASAD DI HATI MENGUNDANG IRI

KECUR DARAH MENYIMBAH TANAH
BERPISAH NYAWA JASAD DAN CINTA
PUTIH MENGALIR MEMANGKAH FITNAH
NESTAPA MENGARAK MENDUNG SEMESTA

TUJUH TURUNAN DISAPA PETAKA
TANAH PUSAKA DIMAMAH SUMPAH
KINI PUSARA MENJADI TANDA
NERACA AKAL SANTUNAN JIWA

MAKMUR NEGERI SUMPAH NAN SIRNA
GELUNG BERPUGAR GEDUNG PERKASA
DARI SEGARA KE PUNCAK RAYA
SUBUR MELATA BERSIMBAH KURNIA

TABUH HIKAYAT MASIH DIDENDANG
DUA NISAN MERCU INGATAN
LABA DIKEJAR UNTUNG DITIMANG
AKAL DAN SUNNAH DITINGGAL JANGAN

Sunday, January 6, 2013

Langkawi - coretan perjalanan

As salam
Sekian lama menyepi, mungkin kerana hilang ghairah untuk menulis atau sekadar rutin malas makin menjadi-jadi. Kalau tamsilan parang, aku mungkin sudah mula berkarat. Maka, perlu diasah lagi dengan memerah otak mencari susun atur aksara..

Langkapuri, pulau lagenda misteri. Sekian lama ku pendam niat untuk menjejak kaki ke bumi Mahsuri ini. Namun, pasti ada sahaja halangan yang merintang. Nekad menuntas hajat yg sering tertunda, ku pejam mata menempah tiket penerbangan pada awal 2013. Dan mungkin kerana rezeki yang telah tersurat, tiba-tiba syarikat bermurah hati untuk menawarkan percutian ke Langkawi. Sekali lagi, tanpa berfikir panjang aku menempah tiket penerbangan ke sana. 

Meskipun percutian kali ini atas biaya syarikat, tapi tema free and easy (sebenarnya utk menghabiskan sisa budget terkumpul) membuatkan kami berasa sedikit bebas. Dengan penyertaan mencecah 100 org, bukanlah satu tugas mudah utk memastikan semua aktiviti berjalan lancar.
Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang sejam ku gunakan sepenuhnya utk melelapkan mata. Selaku ahli rombongan pertama yang tiba, aku perlu menggunakan masa terluang utk meninjau keadaan sebelum 'pasukan' utama tiba... hmmmm

Aku tiba di bandara (meminjam akronim tanah seberang) lewat dari jadual asal angkara kesesakan di LCCT. Mengikut perancangan asal akan ada wakil dari agen pelancongan yang menyambut ketibaan di pintu keluar. Dengan beg sandang yang sarat serta kamera yang terasa semakin berat bergayutan di bahu, aku melilau mencari kelibat org yang dimaksudkan. Malangnya, tidak ada sesiapa di situ. hanya sekelompok kecil manusia sedang santai di bangku. Satu impresi yang gerah... silapnya, aku terlupa untuk mengambil nomor telefon org pengantara di sini. Pengajaran penting yg terlupakan, sentiasa pastikan komunikasi berjalan lancar.
Berlegar-legar sekitar 10 minit, barulah aku berjumpa dengan En Ruzaidi, yang menurut beliau telah menunggu sejak setengah jam lepas. Aku jadi sedikit keliru, sbb aku org terawal keluar dari balai ketibaan tadi. Mengenangkan aku juga tersilap maka aku maafkan penafian beliau. Kami terus bergerak ke Sandy Beach Resot, Cenang untuk daftar masuk. Bilik dengan 2 katil bersaiz queen, penyaman udara dan TV. Cukup untuk berehat sebentar sebelum keluar lagi menjelajah.

Penjejakalam.blogspot.com
Pantai Cenang, Langkawi

Pantai Cenang (yang kemudiannya aku ketahui pantai ke-5 tercantik di Langkawi) tidaklah secantik yang aku bayangkan. Mungkin aku sudah terbiasa dengan panorama pantai yang lebih cantik di Sabah, meskipun kurang promosi, maka aku kurang ghairah di sini. Diapit pulau dari kedua-dua sisi, menjadikan Pantai Cenang kelihatan sempit. Dari sebelah kiri, kelihatan tulisan gergasi terpampang "Langkawi Permata Kedah" berlatarkan bukit yang menjulang. Manakala dari sisi kanan pula, tanjung dengan deretan rumah rehat dan nyiur sepanjang pantai. Kelip cahaya dari deretan kapal menghidupkan sedikit suasana yang malap. Bosan dengan pandangan yang kelam, aku memaksa kaki untuk menelusuri jalan yang mula sibuk. Cenang, sunyi di siang hari dan mula bernyawa kala malam menjelma. 





HARI KEDUA
Jeti Kuah sesak dengan kehadiran pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Rombongan KST selamat tiba sewaktu hampir tengah hari. Dari jeti, bergerak ke kilang gamat, salah satu produk tersohor yang melonjak nama Langkawi. Bukan kilang sebenarnya, pusat jualan yang disediakan khas utk mendapatkan produk gamat daripada pengasas gamat Langkawi. Harga yang ditawarkan memang murah berbanding tempat lain. Persekitaran yang bersih dan tertata rapi. Malah, disediakan khidmat 'pengurus' jualan yang memberi penerangan kepada pelanggan berkaitan produk jualan. Dan kerana tarikan sebegini, maka duitpun melayang bersama senyuman gembira. Alah membeli, menang memakai...

Penjejakalam.blogspot.com
Gamat dengan pelbagai variasi

Dari kilang gamat kami meneruskan perjalanan ke pekan Kuah dan berkunjung ke Bangunan Haji Ismail Group (HIG) untuk membeli belah. Tarikan utama tentunya coklat dan barangan pinggan mangkuk. Di HIG ini, kesemua coklat yang dijual adalah halal. Maka tidak timbul kesangsian utk pengguna muslim mendapatkan coklat dengan harga murah. Kesesakan pengunjung menggambarkan keyakinan mereka utk berbelanja di sini. Usai menabur 'bonus' di HIG, kami kemudian bergerak terus ke Sandy Beach Resort untuk makan tengah hari dan pendaftaran masuk. Dalam perjalanan, pemandu bas merangkap pemandu pelancong memberikan penerangan serba ringkas tentang Langkawi. Asal usul, cerita Mahsuri, dongeng, hikayat, tempat-tempat menarik, dan perkembangan terkini di samping panduan membeli belah.

Hujan lebat sekitar pukul 4 petang. Program khidmat masyarakat ditunda ke pukul 6. Mata terasa berat utk dibuka. Pantai mula sesak dengan kehadiran pengunjung. Selesai upacara ringkas menanam pokok, kami mula mengorak langkah mengutip cebisan-cebisan sampah sepanjang pantai. Gelagat peserta berbaju hijau mula menarik perhatian orang ramai. Kesempatan diguna sepenuhnya untuk mengajak mereka turut serta. Pengunjung dari luar negara ternyata menunjukkan sikap ramah dan kerjasama. Sementara pengunjung tempatan sekadar bertanya. Menjelang senja, aktiviti usai dan acara makan malam mengambil tempat. Selepas itu, bebas berkeliaran dan aku sekali lagi menyusur pantai.  Meladeni malam yang seamkin gerah dengan karenah marganya...
Panrita Kamika

Panrita Kamika

Panrita Kamika

Panrita Kamika

HARI KETIGA
Mengikut jadual, hari ini merupakan hari paling padat dengan aktiviti. Seawal pagi, selesai bersarapan kami diangkut bergilirgilir untuk aktiviti Island Hopping. Pulau Dayang Bunting diikuti eagle feeding dan seterusnya ke Pulau Beras Basah. Dayang Bunting, tasik air tawar dengan panorama yang mendamaikan. Kesempatan berenang di tasik ini tidak dipersiakan. Sejuk tapi nyaman. Sayang masa agak terhad. kami terpaksa bertolak lagi untuk melihat helang menjamah makanan. Hanya sebentar, dan bagi aku seperti tidak meninggalkan kesan langsung. Pulau Beras Basah... cantik tapi agak berbahaya kerana bot silih ganti mendarat. Kami sendiri hampir terlanggar kanak-kanak yang leka bermain air.

Keletihan dari aktiviti Island hopping amat terasa. Perjalanan balik dengan keadaan laut sedikit bergelora menambahkan rasa lapar yang mula meronta. Restoran Kampung Siam, dengan nama yang sedikit unik tapi sayangnya layanan serta menu yang kurang memuaskan. Pinggan yang terlalu kecil amat tidak menyelesakan untuk menjamah hidangan. Selesai menjamu selera, kami terus ke bilik untuk berehat..

Pada sebelah petang, bergerak lagi ke Gunung Mat Chincang untuk menaiki kereta kabel, satu lagi daya tarikan di pulau lagenda. namun rezeki kali ini nampaknya tidak menyebelahi. Sebaik tiba, hujan renyai mula turun. Untuk memburukkan lagi keadaan, barisan panjang pengunjung menanti giliran untuk menaiki kereta kabel membuatkan kamu dengan berat hati mengambil keputusan untuk membatalkan aktiviti tersebut. Seterusnya kami bergerak ke Idaman Suri, antara pusat tumpuan membeli belah para pelancong. Lewat senja, kembali semula ke bilik dan selepas itu bebas untuk melakukan aktiviti masing-masing.
Selepas berehat seketika, berbekal sisa bonus tahunan yang masih ada, kami mula mencari barangan cenderamata untuk dibawa pulang. Lewat malam barulah kembali semula ke bilik dan berehat.

HARI TERAKHIR
Bagun awal namun terasa berat untuk berkemas. Aku sepatutnya menyambung kembara ke Thailand. Namun perancangan awal terpaksa dibatalkan kerana rakan yang sepatutnya turut serta gagal memperbaharui pasport. Aku agak terkilan dengan sikap begini. Sudahnya, aku terpaksa menaiki feri untuk pulang. Ternyata jeti penuh sesak dengan penumpang kerana musim cuti sekolah, ditambah dengan sambutan Krismas. Setelah bersesak-sesak dapatlah kami menaiki feri dengan selamat dan tiba di Kuala Perlis seperti yang dijadualkan.

Wednesday, August 15, 2012

Kembali lagi...


Berbulan menyepi, ulah talian internet yang menagih kesabaran tahap tinggi. Dan tanpa disangka, ia kembali meneruskan tugas.. dan kini aku kembali....

RAMADHAN
1 Ramadhan disambut penuh kesyukuran. Namun, jauh di sudut hati, ada nyali bila terkenang saat dia 'kembali.' Af-Fateha buat Imma. Sudah setahun rupanya kita terpisah. Namun rasa ini masih seperti dahulu. Gagal kompromi!! Kini, pada minggu terakhir Ramadhan, suasana makin terasa sunyi. Hajat untuk kembali ke kampung halaman terpaksa ditunda seketika. Insyaallah, masih ada waktu untuk itu semua.

JERANGKANG, MARAN, PAHANG
Maran, untuk kesekian kalinya aku kembali ke sini. Kali ini untuk menjelajah gugusan air terjun antara yg tercantik di Pahang. Setelah perancangan tertunda beberapa kali, akhirnya kami berjaya jugak menawan Jerangkang. Perjalanan menaiki lori melalui jalan tanah merah selama 45 minit menggamit memori zaman kanak-kanak. Memasuki hutan dengan pacuan 4 roda, yang kadang kala memakan masa sehari suntuk, antara kenangan yang sukar luput di minda. Menikmati damai alam dan siulan rimba adalah kebahagiaan yang tiada tara. Apatah lagi dengan dingin air dari puluhan air terjun yang tersedia. Pengalaman ini akan segar   sepanjang masa. Terima kasih Tuhan atas rahmatMu...

KST MOUNT NUANG EXPEDITION 2012
7 Julai 2012. Menjadi antara tenaga penggerak ekspedisi Nuang kali ini sedikit menggentarkan aku. Inilah julung kali aku mengemudi peserta seramai hampir 70 orang menjelajah Nuang. Meski hanya setakat kem Lolo, namun dengan angka seramai itu aku tetap gusar. Apatah lagi dengan latar belakang yang berbeza-beza, dan pengalaman yang juga pastinya berbeza. Alhamdulillah semuanya selamat kembali tanpa insiden yang merencatkan perancangan. 

MT KINABALU - TO BE..
Tergerak di hati untuk melakukan kembara yang lebih besar. Destinasi pertama yang terlintas adalah kemuncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu. Meski cabarannya tidaklah sehebat Tahan, namun ada sesuatu yang ingin dilunaskan. Insyaallah, tahun hadapan aku kan berada di sana... 

Friday, June 29, 2012


SIMPLE GUIDE
FOR BEGINNER HIKERS


1. PREPARATION
- Health condition, Equipment / attire, Exercise

2. FOCUS / ATTENTION
- Pay attention to both trail in front and the one under your feet. You are not just walking!

3. WEARING A PROPER ATTIRE / EQUIPMENTS
- Boot, shoes, sandals, hat/ cap, sunblock
-walking stick
- Avoid wearing make-up as you’ll just sweat it off.
- don’t spray yourself with strong scents as they can attract both animal and insect life

4. KNOWLEDGE
i. Geography, map, GPS
ii. Weather
Unpredictable especially on mountain and rainforest
iii. Miscalculating
Reach the peak/ set point is only fulfill halfway of your target. Another one is to return to the starting point with save condition.

5. SAFETY
i. Inform your relatives and the authorities or your friends where you will be.
ii. Back up emergency plans
iii. Wild animal
– you are not at zoo. Animal could quickly become dangerous if they feel threatened.
iv. First Aid


6. LEAVE NO TRACE
Take only photographs and leave only your foot print!!!

7. RESPECT
i. NatureIf you need to go "number one," do so far away from the trail and any natural water sources. If you need to go "number two," dig a hole first and cover it when you are done. Carry toilet paper with you, or use a leaf to wipe — just make sure it's not poisonous!
ii. Culture
iii. Privacy
iv. Life

DO
I.                    INFORMED PEOPLE
II.                  MAKE RESEARCH BEFORE HEADING OUT
III.                HIKE WITH FRIENDS OR GROUP
IV.                BRING BASIC EQUIPMENT
V.                  ALWAYS STICK TO THE TRAIL
VI.                DRINK A LOT OF WATER TO AVOID DEHYDRATION
VII.              TAKE REGULAR BREAKS

DON’T
I.                    DON’T WEAR UNPROPER ATTIRE
II.                  DON’T HIKE ALONE
III.                DON’T DISTURB ANIMALS OR THEIR HOME
IV.                DON’T PICK FLOWER OR OTHER PLANTS
V.                   DON’T BLARE LOUD MUSIC OR TALK TOO LOUDLY. Enjoy the quietness of nature and show your respect to other hikers.
VI.                DON’T LITTER
VII.              DON’T STAY ON TRAIL THAT IS TOO DIFFICULT TO YOU
VIII.            DON’T PUT A STRONG SCENT
IX.                DON’T GO BEYOND YOUR CAPABILITY

penjejakalam@blogspot.com

Sunday, April 1, 2012

Makassar : Kembara Merampung Janji (bahagian 2)

Benteng
DARI BENTENG KE AKKARENA 28 Januari

Pagi tanpa rencana khusus. Kehadiran Apo', perjaka kelahiran Mandar dengan wajah keanakan dan penuh aura bersahabat. Penampilan yang ringkas dan santai membuatkan aku mula kehilangan canggung. Aku memilih untuk tinggal bersama Apo' berbanding kost di Pondok Puteri. Alasannya mudah, aku boleh merokok. Meski sebenarnya aku terasa kurang bebas bergerak jika bersama puteri-puteri UMI di sini. Tambahan pula sikap ramah mereka membuatkan aku semakin segan. Selesai bersarapan kami ke panti asuhan tempat Apo' menginap. Rencananya selepas ini ke Mall untuk menghabiskan masa sebelum berkunjung ke Fort Rotterdam dan petangnya menghayati 'sunset' di Akkarena.
Memandangkan masa masih terlalu awal untuk berlegar, kami dipelawa untuk menonton wayang. Nuansa mewah dan selesa ketika memasuki bioskop membuatkan aku dengan cepat terasa mengantuk. Apatah lagi cerita yang terpapar bergerak lamban dan sedikit bosan. Ku pilih untuk terlelap sambil sekali sekala terkejut mendengar teriakan audien yang hanya memenuhi kurang satu perempat bangku.

Usai menonton, tanpa aku tahu jalan ceritanya, kami ke Gramedia - toko buku terkemuka di Indonesia. Aku tersenyum senang. Bawalah aku ke butik, mungkin aku boleh berlalu tanpa membelek satupun jualan di dalamnya. Atau ke restoran-restoran hebat. Aku bisa sahaja duduk dengan muka bodoh. Tapi bukan ketika memasuki kedai buku. Edensor adalah judul pertama yang kucari. Tapi malang, seperti mana Medan dan Batam, stok telah kehabisan. Lupakan. Masih banyak pilihan lain. Dan setelah membelek senarai penulis, Habiburrahman tetap pilihan pertama. Selain Andrea Hirata dan Tere Liye. Yang lainnya aku belum akrab dengan jalan fiksi mereka. Tiba-tiba seorang pembantu kedai menghampiri dan menyuakan beg buku kepadaku. Baru aku terperasan, sudah lebih 8 naskah novel yang kujinjit!



Benteng Ujung Pandang atau Benteng Panyyua yang terletak di pinggir pantai sebelah barat kota Makassar merupakan objek wisata peninggalan kerajaan Gowa-Tallo. Benteng ini kemudian di serahkan kepada Belanda sebagai syarat memenuhi Perjanjian Bungayya (Bogaya) setelah Makassar takluk kepada angkatan Arung Palakka dan Cornellis Speelman. Namanya diubah kepada Fort Rotterdam, sempena nama daerah kelahiran Speelman.

Pengunjung masih kurang ketika kami tiba di sini. Sepertimana Losari, Benteng juga masih dalam proses renovasi. Tiada apa yang menarik untuk di lihat. hanya bangunan dan sedikit puing-puing sejarah tinggalan kerajaan agung Gowa sedikit masa lalu.

Kaunter yang agak tersorok di sebalik tembok, kelihatan seakan bilik jaga. Mendaftar masuk dan sedikit sumbangan untuk kegunaan pengurusan. Mengitari kawasan sekitar sekadar untuk membuang waktu. Bosan. Tiada yang menarik untuk dijadikan santapan mata. Akhirnya kami berehat menghadap pintu masuk sambil memerhatikan kehadiran pengunjung yang semakin ramai.

Apo', PanRita dan Ichsan

Aku dengan kebiasaanku, menjadi pemerhati pada gelagat setiap pengunjung yang hadir mula berfikir. Untuk apa mereka datang ke sini? Kenapa ingin menghabiskan waktu melawat tempat sebegini. Sebabnya mudah, kalau diperhatikan, tidak ada yang benar-benar punya rasa ingin tahu. Atau mereka datang sekadar untuk berseronok? Keadaan begini juga ku temui kala berada di Gerbang Santiago, Kota A Famosa, Melaka. Kebanyakan pengunjung tersenyum bangga bergambar (berfoto kata orang Indonesia) kenangan dari sisa keruntuhan bangsanya. Lupakah mereka bahawa ini adalah puing-puing sejarah kehancuran sebuah bangsa agung suatu ketika dahulu? Atau aku terlalu idealistik... Entah!!



Pengunjung mula berpusu-pusu. Lapangan parkir yang tadinya lengang kini sesak. Sekumpulan anak muda baru sahaja masuk. Kami mula berdiskusi untuk menentukan destinasi seterusnya dan juga esok. Akkarena disepakati. Tapi untuk esok punya dua pilihan. Trans Studio, kompleks kebanggaan marga makassar atau Bantimurung, wisata alam dengan rimbun hutan dan dinginnya air terjun. Bagi aku, amat mudah untuk membuat pilihan... Bantimurung.

Untuk destinasi seterusnya, kami ke Akkarena. Terletak tidak jauh dari Trans Studio Makassar. Debur ombak dan tiupan angin yang agak keras menyambut kedatangan kami. Pengunjung masih kurang, mungkin kerana di sini dikenakan bayaran untuk masuk maka kehadiran pengunjung agak terbatas. Hamparan pasir hitam di sepanjang pantai menimbulkan suasana berbeza. Kelihatan suram tetapi mempesona. Damai. Batuan pejal dan ombak yang agak liar menjadikan pantai ini kurang sesuai untuk tujuan mandi-manda, terutama bagi keluarga dengan anak yang masih kecil. Pengunjung memilih untuk santai, sama ada di pantai atau pelantar seakan dermaga.

Senja di Akkarena

Hari semakin senja. Langit mula merona jingga. Damai yang ku rasa di Losari terus terbawa ke Akkarena. Semakin tenang dan damai. Meski bayang Imma tidak pernah luput, namun rasa ini jauh berbeza berbanding sebelum kedatangan ku ke Makassar. Pasrah dan redha yang tuntas... Menanti saat matahari terbenam antara saat yang sentiasa meninggalkan kesan bagiku. Senja di belantara ternyata lebih mengasyikkan berbanding di tepian pantai. Mungkin kerana latarku yang lebih akrab dengan hutan. Namun Pantai juga tidak mengecewakan.

Menghayati keindahan

Sepanjang berada di pelantar aku perhatikan majoriti pengunjung adalah golongan muda-mudi yang datang berpasangan. Duduk berdua sambil menikmati keindahan senja di Akkarena. Cukup romantis, dan jujurnya aku sedikit cemburu dengan mereka. Aku cuma duduk memerhati, berasa malas untuk menafsir apa lagi membuat andaian. Pedulikan mereka dengan cara yang mereka pilih. Aku hanya ingin menikmati saat-saat penuh ketenangan sambil mengenang setiap detik yang pernah kulalui bersama Imma. Dan aku rasa bahagia dengan caraku.


Kami beransur pulang ketika alam mula dibungkus kegelapan. Kembali menyusur ke Losari dan singgah sebentar menghadap jajan di tepian jalan. Pisang Epe', pisang salai dengan pelbagai perisa yang rasanya belum pernah ku temui di negara sendiri. Tapi sewaktu masih kanak-kanak kami sering memakannya meski tanpa perisa istimewa. Di sini, pisang yang disalai ditambah dengan siraman air gula merah dan parutan sama ada cokelat, keju atau durian. Sedap dan menyelerakan tetapi terlalu manis bagiku.

Kami kembali ke kost dan berehat untuk perjalanan esok. Aku habiskan masa dengan membaca novel yang baru sahaja ku beli. Dan dari rak buku Apo' aku tertarik dengan sebuah buku usang yang ternyata novel cinta agung Laila Majnun. Mata yang letih kembali segar sebaik mula membaca himpunan akasara dari sebuah naratif yang menjadi role model kisah cinta muda-mudi. Aku terlupa Bantimurung untuk seketika. Waktu seakan kaku dan aku larut dalam penghayatan kisah Qaisy mencari Laila. Entah bila aku terlelap, aku sendiri tidak pasti...

Sunday, February 26, 2012

Makassar : Kembara Merampung Janji (bahagian 1)

Losari..
Aku ingin menyintai
Menyayangi
walau tidak memiliki....
~ PanRita 2012~

Permata UMI...

Kembara kali ini punya misi peribadi. Misi untuk merampungkan janji buat dia yang telah pergi. Istimewa buat insan yang bersemadi di hati. Imma, semoga kau tenang di sisi Illahi...

Bermula usai meladeni naratif Pak Arena (SN Arenawati), "Sukma Angin".. terbersit rindu pada tanah leluhur. Meski aku pernah sekali merentas Selat Sulawesi, namun Makassar @ Jumpadang masih gagal ku jejak. Hanyut dalam lakaran pengalaman pak Arena, aku jadi rindu pada Losari. Riak air yang menyimpan seribu catatan duka bangsaku. di dasarnya adalah sejarah keagungan manusia pelaut tersohor, meski akhirnya 'bangga' digelar lanun seantero nusantara. Losari juga adalah titik akhir sebuah janji. Termeterai antara dua hati... meski akhirnya aku terpaksa merelakan pemergiannya menyahut panggilan Yang Maha Khaliq...

27 Januari
Bandara Hasanuddin akhirnya takluk. Berbeza dengan Hang Nadim mahupun Polonia, kehadiran kami di sini merentasi aero bridge, bukan menapak dari tangga pesawat hingga ke ruang ketibaan. Tanpa perlu bersusah payah menunggu bagasi, aku bergegas keluar. Jadual ketibaan yang agak telat merisaukan aku. Ada getar halus kala berpapasan dengan orang-orang yang sedang menanti ketibaan tamu mereka. Bahasa yang tidak asing bagiku, seakan kembali ke akar umbi kehidupan bangsa sendiri.

Dari bandara, berteman 3 cewek cantik kami terus ke kost Pondok Puteri, terletak di belakang kampus Universitas Muslim Indonesia (UMI). sedikit kalut sebab aku belum lagi menukarkan ringgit ke rupiah. Mujur Ms Dee 'bermurah hati' untuk menolong. Berehat sebentar di kost para puteri UMI sebelum bergerak ke Perintis untuk makan malam. Buat pertama kalinya aku menaiki beca. Pengangkutan yang sudah pupus di Malaysia, kalau adapun agak sukar ditemui. Seterusnya menaiki angkot atau lebih dikenali sebagai pete-pete kami ke lesehan untuk mengalas perut.

Univeritas Muslim Indonesia (UMI)


Menu yang belum akrab, terasa janggal untuk memilih. Malah cara penyediaan juga berbeza. Untuk memesan, disediakan senarai menu untuk diisi sendiri. Terbayang semasa di Medan tempoh hari, kami dihidang dengan pelbagai jenis lauk yang kemudiannya dibayar mengikut jumlah yang di makan. Makan dalam keadaan bersila sedikit merisaukan aku. Dengan kaki yang mudah kebas, aku bimbang jika ditafsir sombong oleh orang lain. Bagi yang sudah biasa, mereka faham keadaanku. Tapi bagi yang pertama kali bersua pastinya terbersit rasa menyampah.

Selesai mengalas perut, tiba-tiba Ms Dee mengusulkan untuk ke Losari. Oleh kerana tujuan utama aku ke sini adalah Losari maka dengan hati yang berbunga-bunga aku terus bersetuju. Berhimpit dalam teksi kami mula bergerak ke Losari. Sekitar 20 minit kemudian, kami selamat tiba di sana. Losari masih dalam proses renovasi, maka terlihat agak serabut dengan segala macam peralatan. Tersergam gagah mercu tanda Pantai Losari, tapi yang jelas aku gagal menemukan pantainya. Teringat ketika santai di Penang atau Waterfront Kuching. Situasinya lebih kurang sama. Air yang berkeladak dengan genangan sampah, penjaja, pemuzik dan segala macam penghuni meramaikan suasana.

Losari di malam hari

Getar kian terasa. Di setiap sudut aku seakan melihat kelibatnya.. Janjiku kini hanya menanti masa untuk dirampung. Sebak mula mencengkam ulu hati. Mata seakan kabur dek genangan air yang ingin merembes keluar. Ku gagahkan hati untuk melafaz kalimah janjiku. Dan alam seakan diam, larut membendung emosi dan kehadirannya makin terasa. setiap kelibat yang kulihat adalah citra dirinya yang utuh menjulang setiap kalimah. Untukmu Imma, abang tunaikan janji yang abang lafazkan selama ini. Telah ku bisikkan pada Losari, cintamu terpatri di hati. Aku ikhlaskan pemergianmu, aku redha atas ketentuan Illahi. Semoga kau tenang di sisiNya. Al-Fateha buat insan yang amat ku sayangi. Amin.

Tenang. Damai.Terima kasih Tuhan....


ilusi optik??
ANDAI INI YANG TERAKHIR
Andai ini bicara yang terakhir
(sekadar berbisik)
Ya Khaliq...
Izinkan aku merawat lara
Lewat timbunan lembar kata
Menghimpun mantera
Sisa-sisa nestapa

Andai ini kasih yang terakhir
(munajat memohon rahmat)
Ya Rahman... Ya Rahim
Anugerahkan rasa ini
Pada dia yang mendamba

Andai ini nafasku yang terakhir
Hanya pada Mu
Ya Rabb..
Bisik munajatku mengharap redha
izinkan kami menyatu
di mandala Mu yang abadi

Andai ini yang terakhir dariku
Pahatkan kata
lestari sejagat raya
Kerna aku pasrah pada pasti
cinta ini tak akan pernah berakhir